SAYURAN kangkung, bendi dan timun yang ditanam di Kebun Hijrah Warrior. FOTO Aizuddin Saad
SAYURAN kangkung, bendi dan timun yang ditanam di Kebun Hijrah Warrior. FOTO Aizuddin Saad
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Kuala Lumpur: Usaha gelandangan yang menghuni Anjung Kelana, Pusat Transfromasi Gelandangan, bercucuk tanam di depan bangunan itu memberikan hasil apabila ratusan kilogram sayur berjaya dikutip.

Kebun seluas 0.72 hektar yang dikenali Kebun Hijrah Warrior itu, ditanam sayuran kangkung, bendi dan timun yang sudah beberapa kali dituai, manakala jagung dua minggu lagi.

Ia adalah hasil cetusan idea Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa yang mahu penghuni mengusahakan tanah itu dengan hasil tanaman.

Ketua Penyelaras Kebun Hijrah Warrior Mohd Hafiz Layman berkata, kebun itu diusahakan pada 15 Mac oleh gelandangan yang mendiami Anjung Kelana yang dibuka pada awal Mac lalu.

Menurutnya, pada mulanya sukar mengajak gelandangan untuk turut serta kerana ramai yang kurang berminat namun seramai lapan orang akhirnya menawarkan untuk membantu.

"Kami mengambil masa dua minggu untuk membersihkan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum mula menanam sayur. Masa yang diambil agak lama kerana semua dilakukan secara manual dengan menggunakan empat cangkul sahaja.

"Selepas mula menanam dan nampak hasil, beberapa lagi gelandangan turut menawarkan diri untuk menyertai dan kini terdapat 15 gelandangan yang aktif mengusahakan kebun ini," katanya ketika ditemui di Anjung Kelana, Taman Desa di sini.

SUKARELAWAN Hijrah Warriors melihat keadaan kebun sayur bendi. FOTO Aizuddin Saad
SUKARELAWAN Hijrah Warriors melihat keadaan kebun sayur bendi. FOTO Aizuddin Saad

Mohd Hafiz berkata, kini mereka menuai sebanyak 70 kilogram kangkung, timun (150 kilogram) dan bendi (20 kilogram).

Katanya, semua sayur itu dijual di kedai runcit di sekitar kawasan itu dan hasilnya nanti akan diberikan kepada gelandangan sebagai pendapatan mereka.

"Selepas ini kami bercadang untuk menanam tembikai pula dan berharap akan mendapat hasil yang memberangsangkan juga," katanya yang memaklumkan kini terdapat seramai 68 gelandangan mendiami Anjung Kelana.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Asnaf dan Gelandangan Rashdan Rashid berkata, modal untuk mengusahakan kebun itu 100 peratus daripada Annuar sendiri.

Namun, katanya, mereka sudah mendapat bantuan Jabatan Pertanian antaranya baja, cangkul, sarung tangan dan beg poli semaian.

"Kami juga sudah mendapat kerjasama daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang akan membantu dari segi mendapatkan rangkaian jualan," katanya.

Penghulu Anjung Kelana, Mahsanal Mahfudz, 51, berkata dia menjadi antara gelandangan yang terawal menawarkan diri untuk mengusahakan kebun itu.

MAHSANAL. FOTO BERNAMA
MAHSANAL. FOTO BERNAMA

Dia yang berasal dari Bagan Datuk, Perak, mengakui minat dalam bidang pertanian sejak zaman persekolahan dan tidak sangka kini berjaya membantu mengusahakan kebun.

"Apa yang seronok apabila berkebun ini adalah kita nampak hasil yang diusahakan dengan penat lelah walaupun ketika ini kami gelandangan yang mengusahakannya masih belum mendapat pendapatan lagi.

"Namun, saya berharap kebun ini akan dapat diperluaskan dan ditanam dengan pelbagai lagi tanaman selain lebih ramai gelandangan turut bersama membantu," katanya.

Mohd Fizol Abu Bakar, 49, dari Permatang Pauh, Pulau Pinang, berkata dia baru mendiami Anjung Kelana dan teruja untuk turut berkebun.

Katanya, dia tiada ilmu pertanian dan berharap dapat menimba sebanyak mungkin ilmu bertani nanti.

"Selain itu saya juga mengharapkan mendapat pendapatan dan tidak kisah berapa yang diperoleh kerana sudah tidak bekerja sejak beberapa bulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 7:30 AM