DALAM kes Tatacara Pengendalian Piawai (TPP/SOP) Covid-1, keberkesanannya amat bergantung kepada sejauh mana tahap pematuhan dalam pelaksanaannya. FOTO Arkib NSTP
DALAM kes Tatacara Pengendalian Piawai (TPP/SOP) Covid-1, keberkesanannya amat bergantung kepada sejauh mana tahap pematuhan dalam pelaksanaannya. FOTO Arkib NSTP
Nazarali Saeril

Sikap segelintir masyarakat yang gemar menyalahkan pihak lain dalam pengurusan pandemik Covid-19 seperti pihak berkuasa, kadangkala tidak pragmatik.

Apa yang dilakukan pihak berkuasa semuanya dilihat tidak adil, tidak patut dan bersifat menekan.

Bagaimana pula dengan golongan terbabit, adakah yang menuding jari itu patuh SOP, patuh undang-undang?

Ikuti wawancara dengan profesor Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, PROF DR ZAID AHMAD bersama Pengarang Berita NAZARALI SAERIL bagi mengupas isu ini.

DR Zaid. FOTO Arkib NSTP
DR Zaid. FOTO Arkib NSTP

Apa lagi sebahagian masyarakat kita mahu? Semua SOP Covid-19 disalahkan, malah semua pihak tak betul, hanya mereka saja yang betul.

Tabiat menyalahkan pihak lain adalah sikap yang berkait dengan jiwa dan psikologi.

Terdapat segelintir masyarakat yang suka melihat kesalahan dan kelemahan pada pihak lain tanpa sedar mereka juga sebenarnya sebahagian daripada masalah itu.

Dalam kes Tatacara Pengendalian Piawai (TPP/SOP) Covid-1, keberkesanannya amat bergantung kepada sejauh mana tahap pematuhan dalam pelaksanaannya.

Ini kerana ia membabitkan komitmen tinggi semua pihak. Penguatkuasaan penting, tapi yang lebih penting adalah sikap dan kesediaan setiap individu memastikan ia dilaksanakan tanpa terikat dengan keberadaan pihak penguatkuasaan.

Jika ini dapat dilaksanakan maka keberkesanan TPP boleh mencapai tahap maksimum.

Saya berpendapat berkesan atau tidak TPP bergantung sebahagian besarnya kepada komitmen orang awam.

Sebaik mana atau seketat mana pun TPP, tidak mungkin berkesan jika dilakukan secara sambal lewa oleh orang awam.

Menuding jari kepada pihak lain adalah kerja paling mudah untuk menutup kelemahan diri.

Kerajaan terlalu berlembut dengan pesalah SOP Covid-19?

Daripada segi penguatkuasaan, saya tidak fikir kerajaan atau pihak berkuasa berlembut.

Denda dan hukuman yang dikenakan juga memang sudah tinggi.

Cuma apa yang menjadi rungutan dalam kalangan masyarakat awam adalah keberkesanan penguatkuasaan.

Kita harus maklum bahawa tidak mungkin penguat kuasa akan berada di semua tempat dan dalam semua keadaan.

Pastilah akan ada pihak yang melanggar TPP ketika penguat kuasa tiada di tempat berkenaan. Ini sesuatu yang memang dapat dijangkakan.

Apa yang menjadi isu di sini bukan lagi penguatkuasaan, tetapi ia menjadi isu sosial yang mana wujudnya sikap tidak bertanggung jawab, pentingkan diri dan mengada-ngada tidak kena tempat oleh segelintir masyarakat.

Sikap mengada-ngada inilah yang menjadikan keadaan semakin bercelaru.

Melanggar TPP itu satu hal, tetapi suka memberitahu dunia bahawa dia melanggar TPP itu satu hal yang lain.

Golongan yang sering melanggar SOP Covid-19 tidak perlu diberi muka. Bagaimana dengan penjara khas untuk mereka?

Mengenakan hukuman berat kepada pesalah yang melanggar TPP termasuk penjara adalah satu pendekatan.

Namun pada hemat saya, terdapat ruang advokasi yang luas bagi memberikan kefahaman kepada masyarakat untuk lebih bertanggung jawab dan kesedaran akan betapa perlu dan pentingnya mengamalkan TPP secara ikhlas dan menjauhi sikap pentingkan diri.

Faktor ini malah lebih penting daripada hukuman dalam memastikan TPP dapat memberikan kesan yang optima untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Bersandarkan kepada bidang kepakaran Prof, apa yang sebenarnya mungkin melanda masyarakat kita hari ini?

Penyakit yang sedang melanda segelintir masyarakat kita hari ini ialah, media sosial digunakan sewenang-wenang untuk memberitahu semua orang bahawa dia melakukan itu ini termasuk melanggar TPP.

Malah, ada yang sengaja menunjuk-nunjuk dan seolah-olah bangga melanggar TPP.

Hasil daripada sikap mengada-ngada inilah yang menimbulkan kesangsian masyarakat termasuk menganggap wujudnya dwi-piawai dalam penguatkuasaan.

Tidak dinafikan mungkin terdapat keadaan sedemikian yang terpencil, tetapi yang lebih menyumbang kepada persepsi negatif adalah sikap mengada-ngada dalam kalangan segelintir masyarakat.

Wujudnya istilah seperti 'golongan kayangan' dan seumpamanya yang membayangkan terdapatnya persepsi dwi-piawai dalam penguatkuasaan adalah disebabkan ada pihak yang suka menggunakan media sosial memberitahu satu dunia dia 'berjaya' melanggar TPP.

Oleh itu, individu itu sendirilah yang sepatutnya menjaga diri dan memastikan dia sentiasa mengamalkan TPP tanpa dikaitkan dengan keberadaan penguat kuasa.

Hukuman cuci tandas awam, bersihkan longkang atau kerja sosial lain dengan jumlah keseluruhan, contohnya 150 jam, mungkin boleh diperkenalkan untuk pesalah SOP?

Secara amnya, pada hemat saya, ada lima faktor yang perlu dilihat dalam memastikan keberkesanan TPP.

Pertama, peraturan dan hukuman yang berkesan kepada pihak yang tegar melanggar TPP.

Kedua, penguatkuasaan ketat dan berkesan secara menyeluruh dan juga secara bersasar.

Ketiga, advokasi awam yang berkesan dan meluas dengan menggunakan segala bentuk medium yang boleh bagi menyampaikan mesej dan penerangan kepada seramai mungkin anggota masyarakat.

Keempat, sikap orang awam sendiri yang perlu memberikan kerja sama sepenuhnya kepada TPP dengan kesedaran dan tanggungjawab.

Kelima, sikap segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab yang suka mencari publisiti apabila melanggar TPP.

Semua ini perlu ditangani bagi memastikan keberkesanan TPP.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 7:05 AM