GAMBAR hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Kadang-kadang kita tidak faham dengan perangai manusia, perkara yang mungkin berlaku pada diri sendiri, kawan-kawan, saudara-mara dan sebagainya berlaku dalam organisasi atau jabatan tidak kira kerajaan atau swasta iaitu kerap disebut sebagai 'lebih sudu daripada kuah'.

Perkataan peribahasa ini memberi maksud yang dalam maknanya iaitu orang yang mengada-ada atau berlebihan sikapnya. Jika diteliti maksud itu, boleh dikatakan dalam bahasa yang santai dan mudah difahami sebagai individu yang berlebihan dalam sesebuah organisasi atau jabatan yang suka menunjuk-nunjuk dan berada di depan.

Sedangkan sesuatu kerja itu bukan dia yang melakukannya dan dalam bahasa anak muda kini lebih santai lagi maksudnya individu yang suka overshadow orang yang sepatutnya menjadi focus point.

Dia yang berlebih-lebih padahal orang yang 'bertanggungjawab' mengenai sesuatu perkara itu lebih relaks dan tenang saja.

Jangan lebih sudu daripada kuah. Ada kuah lebih boleh hirup. Tapi, kalau lebih sudu, kurang kuah nanti jadinya bising. Bukan cuma bising, lebih menyedihkan menjadi sia-sia jugakan sudu. Tak guna ketika itu, kena guna lain kali pula. Sementara nak guna tu buang waktu.

Tapi, jika dikaitkan dengan orang, sikap orang yang ibarat lebih sudu daripada kuah ini sangat bahaya. Sungguh. Bahasa mudahnya adalah dia berlebih-lebih daripada yang sepatutnya. Bahasa kasarnya adalah over atau keterlaluan.

Sering kali kita lihat sikap begini kadangkala naik menyampah tahap 'gaban' juga. Ini berlaku dalam banyak perihal kerja sama ada dalam jabatan kerajaan atau swasta.

Biasanya, yang tidak terbabit dengan sesuatu yang penting atau kerja mustahak itu yang suka berlebih-lebih dan menyibuk.

Bila sudah diketengahkan dan lebih-lebih lagi sesuatu yang menjadi penting dan peringkat atasan tampil memberi sokongan dan pujian, maka sang mengada-ngada ini mula menonjol diri melebihi orang yang melakukan kerja berkenaan, seakan-akan dia yang menjadikan benda atau kerja itu penting.

Tujuan mengada-ngada atau menunjuk-nunjuk itu adalah untuk mendapat pujian dan jika boleh berkehendak sangat dinaikkan pangkat atau lain imbuhan besar, maka tenggelam sang pembuat kerja yang sebenar dalam radar bos yang termakan 'kemengadaan' individu atau kumpulan yang mengada-ngada ini.

Mengada-ngada atau berlebihan sikap ini ibaratnya seperti api dengan minyak. Api kadang-kadang mudah dan boleh terpadam sendiri, tapi kalau disiram minyak, sekampung pun boleh hangus terbakar.

Dalam dunia masa kini sering kali berlaku orang yang lebih sudu daripada kuah, perkara sebegini sering berlaku dalam kelompok atau organisasi tempat kita bekerja dan lebih menyakitkan hati jika bidalan lebih sudu daripada kuah ini kita kecilkan lagi skop maknanya kepada 'kawan makan kawan'.

Situasi yang sangat menyentap jiwa. Lebih tragis lagi apabila yang makan kawan itu adalah kawan baik sendiri. Puncanya tidak lain tidak bukan kerana hendak cepat naik pangkat atau duit. Ada yang sanggup tikam belakang, 'sailang' kerja atau projek kawan bila mata dan hati dikaburi dengan jawatan tinggi atau wang ringgit.

Penulis benci jenis orang begini kerana sanggup putus kawan semata-mata mahu mengejar nikmat sementara. Kawan penulis sendiri pernah mengadu apabila mengalami nasib ada kawan 'sailang' projek yang diusahakan bersama kerana mahu untung besar.

Ingat mungkin hari ini kita seronok melahap kesenangan atas penipuan, namun esok lusa mungkin ia terlintas di hati mahu mengutarakan cerita mengenai tikam belakang.

Cukup faham kah kita dengan maksud tikam belakang? Masih adakah orang yang sanggup menikam belakang? Jawapannya ya, masih ada orang yang sanggup menikam kawan sendiri, lebih-lebih lagi zaman TikTok ini.

Mereka sanggup membuat apa saja, yang penting hajat mereka tercapai dan dapat apa yang mereka mahukan. Ketika melalui saat itu, apakah perasaan kita akan menjadi tidak keruan dengan marah, sedih, geram dan dendam.

Paling akhir kawan kita akan memohon maaf daripada kita, tetapi tahukah dia mengenai hati kita yang sudah terlalu terluka dan memaafkan mereka daripada tekak saja, bukan dari hati yang ihklas kerana mesti tercalit perasaan dendam mengenai apa yang berlaku.

Ini kerana, bukan mudah bagi kita untuk melupakan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi apabila maruah mereka tercalar dan mereka mahu berjaga-jaga dengan kawan yang seperti itu kerana bak kata pepatah, pisang tak akan berbuah dua kali. Tak nak rasa benda sama lagi dan tak mahu ia berlaku lagi, pada hal kita sedalam mana pun maaf itu, ingat bahawa hati bukan untuk dipermainkan. Sekali ia direnyuk, diseterika beribu kali pun tidak akan kembali seperti hati yang asal dahulu.

Kata orang, jangan memilih untuk berkawan. Sebenarnya kita salah, memilih kawan adalah penting untuk menentukan siapa diri kita kerana kawan berkeupayaan mempengaruhi untuk mengubah hidup seseorang. Ia turut membantu dalam menceriakan hari kita yang suram kerana sahabat sejati akan berada di mana sahaja tidak kira ketika senang mahupun susah. Memilih bukan berdasarkan paras rupa dan harta benda, tetapi hati. Hati yang ikhlas untuk berkawan ke arah kebaikan nescaya tidak akan menghampakan kita walau bagaimana berat rintangan dan halangan mengganggu.

Semoga kita bukan jenis lebih sudu daripada kuah atau jenis kawan makan kawan sendiri. Semoga sifat negatif itu tiada dalam diri kita atau kawan kita dan kumpulan tempat kita bekerja.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 7:00 AM