ALIF mengharapkan single Lagu Raya akan menjadi ‘evergreen’.
ALIF mengharapkan single Lagu Raya akan menjadi ‘evergreen’.
Ridzuan Abdul Rahman


DUA tahun berturut-turut Alif Satar bergandingan dengan kumpulan nasyid Raihan menyanyikan semula lagu kumpulan nasyid popular ini sempena Ramadan.

Tahun ini, Alif Satar and The Locos bersama Panji Sakti yang sinonim menghasilkan lagu-lagu untuknya, tampil dengan lagu sempena Aidilfitri.

Satu pendekatan mudah diambil mereka apabila memilih judulnya sebagai Lagu Raya.

"Lagu ini sangat 'catchy' dan melodinya segar. Ia sebuah lagu pop tapi instrumennya ada unsur malar segar. Kami mulanya fikir nak letakkan judul yang sesuai dan akhirnya terfikir pilih judul ini.

"Sebabnya apabila orang taip lagu raya di Google, pasti akan keluar lagu ini. Begitu juga kalau taip di Spotify, pasti lagu ini akan keluar.

"Selain itu, ini adalah kerjasama saya dengan The Locos setiap kali Ramadan. Tahun ini kami tampil dengan projek istimewa ini di bawah syarikat rakaman saya Aset Records Sdn Bhd yang diedarkan oleh Warner Music (M) Sdn Bhd," katanya.

Alif berkata, dia cuba lari daripada kebiasaan apabila memilih untuk tampil dengan lagu bertemakan Aidilfitri pula.

"Apabila hasilkan lagu raya ini dalam situasi pandemik Covid-19, saya fikir kita kena ada sikap positif dan keseronokan untuk kanak-kanak serta semua orang.

"Apabila dengar lagu raya 'evergreen', mesti orang ingat lagu Allahyarham Sudirman dan saya nampak lagu kami ini bakal 'evergreen'.

"Ia moden tapi tak lari dari rukun klasik lagu raya. Rakaman dibuat sebelum Ramadan dan muzik videonya dibuat pada hari kedua Ramadan," katanya.

Mereka beruntung kerana video muzik Lagu Raya mendapat tajaan sepenuhnya Petron Malaysia di mana penggambaran dibuat di sebuah stesen minyak Petron di Sungai Buloh.

Menurutnya, tujuan menghasilkan lagu ini bagi menyuntik keriangan untuk meraikan ketibaan Syawal.

"Liriknya menyebut berkenaan kerinduan balik kampung dan betapa sedihnya Ramadan akan tinggalkan kita.

"Kami sedar kita sekarang tak dibenarkan untuk balik kampung kerana kerajaan nak menangani penularan pandemik Covid-19. Namun, apabila kami hasilkan lagu, ia bukanlah spesifik untuk masa ini saja kerana mahukan ia 'evergreen'," katanya.

Alif mengakui tidak berniat langsung menyinggung perasaan mana-mana pihak.

MENGHARAPKAN Covid-19 segera berakhir.
MENGHARAPKAN Covid-19 segera berakhir.

"Saya pasti akan ada yang mempertikaikan lagu berkenaan balik kampung sedangkan kita tak dibenarkan berbuat demikian.

"Saya cuba luahkan kerinduan untuk pulang ke kampung. Selain itu saya juga cuba selitkan elemen positif dalam lagu ini. Mungkin selepas ini Covid-19 tiada lagi dan kita boleh raikan balik kampung untuk berhari raya dengan ibu bapa.

"Saya dan ibu bapa menetap di Kuala Lumpur, namun kampung halaman kami di Pulau Pinang. Kami masih ada saudara mara di sana dan berharap dapat bertemu mereka selepas ini," katanya.

Kongsi rezeki

Besar ujian yang dilalui Alif sebelum ini apabila disahkan positif Covid-19 pada hujung November tahun lalu dan menjalani kuarantin selama 12 hari serta rawatan di Hospital Melaka sebelum benar-benar pulih.

Justeru, dia amat bersyukur rezekinya semakin bertambah apabila dipilih sebagai pengacara baharu Muzik-Muzik 36.

"Alhamdulillah, jadual kerja saya tahun ini cukup padat. Sudah tujuh tahun saya sebenarnya tak kerja pada bulan puasa. Tapi tahun ini jadual kerja saya memang padat. Saya kena kerja kerana ini rezeki berbanding mereka yang susah hati akibat tiada kerja.

"Saya kena ingat saya kena berkongsi rezeki dengan kru, pemuzik dan mereka yang berada di sekeliling saya," katanya yang turut menampilkan The Locos sebagai pemuzik pengiring dalam Muzik-Muzik 36.

Pada masa sama, Alif juga bekerjasama dengan AEON Retail Malaysia (AEON) menganjurkan kempen "Cabaran SAMBADO" di mana orang ramai boleh membeli sambil menderma produk Nasi Ayam SAMBADO (Nasi Ayam Sambal Abang Sado).

"Saya juga ingin membawa masuk produk rakan-rakan artis serta peniaga industri kecil sederhana (IKS) untuk dijual di situ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 6:00 AM