KAMARUDIN dengan teknik melambung telur rebus ketika membungkus nasi beriani di bazar Ramadan.
KAMARUDIN dengan teknik melambung telur rebus ketika membungkus nasi beriani di bazar Ramadan.
Zaitie Satibi


Resipi turun-temurun keluarga adalah khazanah yang sangat bernilai dan tiada galang gantinya.

Disebabkan itu, dua beradik Husein Abdul Ghafur, 36, dan Kamarudin, 34, berusaha mempertahankan resipi nasi beriani istimewa yang diajar arwah bapa mereka, Abdul Ghafur Abdullah sejak lebih 20 tahun.

Kamarudin berkata, nasi beriani yang diwarisi daripada arwah bapa memiliki cita rasa dari Pulau Pinang, namun keunikannya apabila nasi beriani itu dimasak menggunakan air rebusan ayam.

“Arwah bapa adalah seorang tukang masak dan sering dijemput untuk masak lauk-pauk dalam majlis keraian.

“Kemahiran arwah bapa adalah penyediaan nasi beriani tulen yang dimasak dengan pelbagai campuran rempah ratus.

“Ketika hayatnya, arwah bapa sempat mengajar abang (Husein) menyediakan nasi beriani berkenaan dan berharap anak-anak dapat mengekalkan resipi warisan keluarga ini sampai bila-bila,” katanya.

Menurutnya, mereka tidak menggunakan rempah beriani segera, sebaliknya rempah diadun sendiri bagi menghasilkan keistimewaan nasi beriani itu.

Malah, nasi beriani juga dimasak sendiri dua beradik itu bagi memastikan setiap bahan masakan diproses mengikut mutu yang ditetapkan.

“Kami nyaris melupakan resipi peninggalan arwah bapa kerana selepas dia meninggal dunia tiada sesiapa daripada kalangan keluarga mencuba masak nasi beriani lagi.

“Malah, abang yang berniaga makanan di gerai tepi jalan pun hanya menumpukan kepada jualan nasi lemak dan sate.

“Saya pula ketika itu menyambung pengajian dalam bidang teknologi maklumat dan membantu abang berniaga jika ada kelapangan,” katanya.

Husein berkata, segalanya berubah apabila mendapat banyak permintaan daripada penggemar nasi beriani masakan arwah bapa menyebabkan mereka mula memikirkan menyediakan kembali masakan itu.

“Sejak itu, kami tidak lagi menoleh ke belakang dan menjadikan nasi beriani sebagai hidangan utama dalam perniagaan makanan sehingga mampu mengasaskan KHK Food menawarkan perkhidmatan katering kecil-kecilan dan perancang perkahwinan.

“Selain katering, kami berniaga di bazar Ramadan di Seksyen 13 dan Seksyen 18, Shah Alam sejak lapan tahun lalu dan sebagai tarikan kepada pengunjung saya melambung telur rebus ketika membungkus nasi beriani.

“Teknik persembahan itu digelar nasi beriani telur bersayap dilakukan sekadar suka-suka dan hanya dilakukan ketika berniaga di bazar Ramadan,” katanya.

Bagi memastikan khazanah yang dimiliki tidak dihakis oleh peredaran zaman, Kamarudin berkata, dia turut mendedahkan dua anaknya berusia empat dan enam tahun kepada dunia masakan terutama hidangan nasi beriani.

Malah, isterinya, Asmah Abdul Jabar, 33, dan kakak ipar (isteri Husein), Jamilah Zakaria, 31, turut membantu penyediaan nasi beriani Abdul Ghafur yang masih mendapat tempahan tinggi daripada masyarakat khususnya pada Ramadan kerana keenakan rasanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 5:44 AM