GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kes baharu jangkitan Covid-19 dalam negara hari ini, menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan 957 kes berbanding 659 kes yang direkodkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 32,505 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes baharu itu membabitkan jangkitan dalam negara dan tiada kes import yang dilaporkan hari ini.

"Sebanyak 644 kes dilaporkan di Sabah membabitkan kes dari kluster sedia ada, saringan kontak rapat dan saringan lain.

"Sementara, 225 kes dilaporkan di Selangor, Pulau Pinang (23), Wilayah Persekutuan Labuan (18), Terengganu (15), Sarawak (11), Negeri Sembilan (8), Perak (5), Kuala Lumpur (4) dan masing-masing satu kes di Kedah, Melaka, Johor serta Putrajaya.

"Sebanyak 80 kes berkaitan pusat tahanan sementara dan kluster penjara terdiri daripada Pusat Tahanan Sementara Tawau (54 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (14), Kluster Penjara Kepayan (6), Kluster Benteng (3) dan Kluster Rumah Merah (3)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 97 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 27 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, tiada kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian kekal sebanyak 249 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 6:27 PM