Dr Noor Hisham.
Dr Noor Hisham.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 11 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini sekali gus merekodkan 9,385 kes positif keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tujuh daripadanya adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan dua warganegara dan lima bukan warganegara.

"Mereka pulang dari India, Arab Saudi dan United Kingdom.

"Empat kes penularan tempatan membabitkan tiga warganegara iaitu dari Kluster Telaga dan Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semenyih 2 serta satu kes bukan warganegara iaitu saringan tahanan yang bakal dihantar pulang ke negara asal di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Beranang, Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 165 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital.

Beliau berkata, terdapat sembilan kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 9,092 kes.

Katanya, sehingga kini, empat kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 128 kes iaitu 1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 6:05 PM