HAFEEZ nafi dakwaan berhenti berlakon, hanya memilih tawaran sesuai selain fokus pada perniagaan.
HAFEEZ nafi dakwaan berhenti berlakon, hanya memilih tawaran sesuai selain fokus pada perniagaan.
Najiy Jefri


PELAKON Hafeez Mikail menolak tanggapan segelintir pihak yang mengatakan dia kini kini tidak lagi aktif berlakon.

Hafeez berkata, dia masih lagi menerima tawaran beberapa drama namun bersikap lebih memilih.

Terbaharu, Hafeez membintangi drama bersiri Hatimu Sedingin Salju yang kini ditayangkan di slot Akasia TV3.

"Saya masih lagi menerima tawaran berlakon. Mungkin khabar angin itu muncul sebab banyak drama lakonan saya belum ditayangkan.

"Saya juga baru saja selesaikan sebuah penggambaran sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Alhamdulillah masih ada 'job'. Cuma sekarang saya sibuk uruskan perniagaan sendiri (kedai makan) dan jadi perunding kewangan," katanya pada sidang media secara virtual untuk mempromosikan drama lakonan bersama Hisham Hamid itu, baru-baru ini.

Hafeez berkata, memandangkan memiliki beberapa komitmen, dia terpaksa menolak tawaran untuk memegang watak besar dalam drama.

"Saya tidak ambil watak besar sangat sebab saya tidak boleh menjalani penggambaran pada setiap Isnin, Selasa dan Rabu.

HAFEEZ kini membintangi drama Hatimu Sedingin Salju yang kini ditayangkan di TV3.
HAFEEZ kini membintangi drama Hatimu Sedingin Salju yang kini ditayangkan di TV3.

"Tapi kalau produksi okay dengan jadual saya, saya okay sahaja. Sebabnya saya nak fokus terhadap perniagaan yang sedang dijalankan," katanya.

Mengakui fokusnya kini sudah berbeza, Hafeez kini menjadikan bidang perniagaan sebagai satu perancangan masa depannya.

"Kerjaya lakonan ini adalah hobi saja. Tambahan sekarang ini banyak muka baharu yang lebih berbakat, berketerampilan dan memiliki jumlah pengikut yang ramai dalam media sosial.

"Saya tahu, suatu hari nanti saya tidak akan laku. Tapi tidak mengapa sebab berlakon bukan lagi keutamaan saya sekarang," katanya.

Biarpun begitu, Hafeez bagaimanapun menegaskan dia tidak akan berhenti daripada kerjaya lakonan kerana minat yang masih menebal.

"Saya tidak akan berhenti daripada lakonan sebab saya masih minat berlakon. Banyak pengalaman berharga yang saya timba sepanjang berkecimpung dalam dunia seni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 6:49 AM