API marak memusnahkan tiga bangunan maahad termasuk tempat penyimpanan barang keperluan pelajar.
API marak memusnahkan tiga bangunan maahad termasuk tempat penyimpanan barang keperluan pelajar.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


"SAYA hanya tinggal baju yang dipakai ini saja," kata Muhamad Muzakir Ehzan Zulkifli, 15, pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Kampung Lambor Kanan di sini, yang terbakar tengah malam semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, tiga bangunan maahad itu terbakar termasuk sebuah yang menjadi tempat penyimpanan barang keperluan pelajar.

Semua 115 pelajar selain guru sempat menyelamatkan diri.

Muhamad Muzakir berkata, dia sedang tidur ketika kebakaran berlaku dan hanya terjaga apabila mendengar jeritan meminta menyelamatkan diri.

"Sebaik keluar saya lihat api sudah marak dan tidak sempat untuk menyelamatkan apa-apa barang.

ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran.
ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran.

"Suasana ketika itu agak kelam-kabut namun saya bersyukur kami semua selamat," katanya ketika ditemui di maahad itu semalam.

Mohd Haziq Abdul Kudus, 18, yang mula-mula melihat kepulan asap ketika membuka stor di tingkat bawah bangunan memberitahu dia panik seketika sebelum berlari ke asrama sambil menjerit 'ada api' untuk meminta rakan dan guru menyelamatkan diri.

Katanya, dia menyedari bangunan maahad terbakar ketika mahu mengambil barang untuk memasak makanan sahur dalam stor.

"Saya terkejut melihat asap berkepul-kepul dan tanpa berlengah terus beritahu ustaz serta menjerit 'ada api' serta meminta pelajar lain menyelamatkan diri. Ketika itu ada yang sudah tidur dan ada yang masih berjaga.

"Sementara menunggu bantuan, saya bersama beberapa rakan lain cuba memadam api seperti dilatih bomba sebelum ini tetapi tidak berjaya kerana api cepat marak," katanya.

Mohd Haziq yang sudah menghafaz 24 juzuk al-Quran berkata, mereka juga sepakat berkumpul di kawasan selamat demi keselamatan semua dan menganggap kejadian itu dugaan buat mereka sempena menyambut Aidiladha.

Sementara itu, pengetua maahad, Akhbar Ali Mydin Ahmad Shah berkata, kejadian menyebabkan ada pelajar yang tinggal sehelai sepinggang disebabkan bilik menyimpan keperluan mereka terbakar.

"Kami akan benarkan pelajar pulang ke rumah mereka. Selain itu, kami mengalu-alukan bantuan orang ramai untuk membina dan membaik pulih bangunan yang terjejas ini," katanya yang bersyukur tiada siapa cedera dan masjid dijadikan penempatan sementara.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyumbang ke akaun Bank Islam 08086020107395 atas nama maahad itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 9:00 AM