Redzuan Muharam


KEMALANGAN yang berlaku 17 tahun lalu mengakibatkan Mohd Firdaus Wan Ahmad, 36, koma selama tiga bulan dan lumpuh tangan kiri .

Selepas tersedar daripada koma, Mohd Firdaus terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda untuk beberapa bulan dan keadaan itu menyebabkan dia tidak dapat menerima kenyataan hingga mengalami kemurungan hampir setahun.

Sepanjang tempoh itu, Mohd Firdaus hanya menghabiskan masa di rumah kerana tiada keyakinan bertemu masyarakat.

Berkat sokongan keluarga, Mohd Firdaus mendapat kekuatan kembali meneruskan hidup dengan menerima perubahan fizikal dan status dirinya sebagai orang kurang upaya (OKU).

Meskipun begitu, Mohd Firdaus tidak berpeluk tubuh dengan mengharapkan ihsan keluarga atau insan sekeliling kerana pelbagai pekerjaan dilakukannya dan kini, Mohd Firdaus menjadikan kerjaya penghantar makanan sebagai sumber rezekinya.

KEKURANGAN tidak menghalang Mohd Firdaus mencari rezeki membantu keluarga. FOTO Fathil Asri
KEKURANGAN tidak menghalang Mohd Firdaus mencari rezeki membantu keluarga. FOTO Fathil Asri

Mohd Firdaus yang menetap di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur, berkata, dia melakukan pekerjaan itu sejak awal Mac lalu dan membuat penghantaran kepada pelanggan dengan menunggang basikal.

"Dulu, saya sangkakan saya seorang saja begini (OKU) tetapi baru tersedar ramai yang senasib malah lebih teruk lagi keadaannya. Selepas saya menyambung pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat (lT) di Pusat Latihan Perindustrian Pemulihan (PLPP) Bangi, di situlah, saya belajar bina keyakinan diri.

"Ikutkan, saya pernah melakukan beberapa pekerjaan, salah satunya eksekutif pemasaran tetapi hanya dapat bertahan selama empat tahun sebelum syarikat menghentikan operasi.

"Sejak itu, saya cuba memohon pekerjaan lain dan sudah menghadiri tujuh kali temu duga di sektor kerajaan tetapi belum ada rezeki untuk diterima bekerja," katanya ketika ditemui Harian Metro di sebuah pusat beli-belah di Setapak.

MOHD Firdaus menjadikan kerjaya penghantar makanan sebagai sumber rezekinya. FOTO Fathil Asri
MOHD Firdaus menjadikan kerjaya penghantar makanan sebagai sumber rezekinya. FOTO Fathil Asri

Oleh kerana enggan membebankan keluarga, Mohd Firdaus nekad menjadi penghantar makanan selepas hampir setahun menganggur.

Biarpun pendapatan diterima tidak tetap, Mohd Firdaus puas kerana dapat mencari wang dengan hasil titik peluhnya sendiri

"Niat sebenar saya adalah membantu keluarga, kerana enggan mengharapkan adik bongsu saja yang selama ini bekerja menyara keluarga.

"Sekurang-kurangnya, pendapatan diterima dapat saya gunakan untuk membantu menjelaskan sewa bulanan rumah dan bil utiliti.

"Permulaannya sukar juga kerana sudah lama tidak menunggang basikal dan perlu mengawal imbangan badan tetapi kini sudah biasa walaupun beberapa kali hampir terbabit dengan kemalangan jalan raya," katanya.

MOHD Firdaus menggunakan basikal untuk menghantar makanan. FOTO Fathil Asri
MOHD Firdaus menggunakan basikal untuk menghantar makanan. FOTO Fathil Asri

Meskipun berdepan cabaran itu, Mohd Firdaus bersyukur urusan hariannya dipermudahkan apabila sering mendapat jumlah pesanan seperti disasarkan setiap hari.

Katanya, penerimaan pelanggan juga baik malah segelintir tidak lokek memberi wang tambahan sebagai sagu hati biarpun tidak mengenalinya.

"Saya seronok menjadi penghantar makanan dan akan terus bekerja sehingga mendapat pekerjaan tetap.

"Bagi OKU di luar sana yang berminat melakukan pekerjaan ini, teruskan jika anda rasa mampu lakukannya dan jangan pernah mengeluh dengan kerja kerana semua itu rezeki.

"Saya juga berterima kasih kepada keluarga, saudara mara dan semua yang membantu dari dulu hingga kini. Hanya Allah mampu membalasnya," katanya yang turut aktif sebagai penjaga gol bagi pasukan Kelab Bola Sepak Amputee Kuala Lumpur (KLAFC).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 9:52 PM