Muhaamad Hafis Nawawi


PENGHANTAR makanan mesti menjalani saringan kesihatan di mana-mana klinik kesihatan awam dan swasta bagi menjaga tahap kesihatan mereka yang berhubung secara langsung dengan pelanggan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lebih 40 syarikat e-hailing dibenarkan beroperasi sepanjang Ramadan ini termasuk penghantar makanan di restoran makanan segera.

Menurutnya, di bandar kecil pula mungkin ada syarikat sendiri atau individu juga diupah untuk menghantar makanan dan mereka ini juga dibenarkan beroperasi selepas diputuskan dalam mesyuarat khas menteri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

“Bagaimanapun semua penghantar makanan ini perlu menjalani saringan kesihatan yang boleh dilakukan di mana-mana klinik kesihatan atau swasta.

“Kita mahu menjaga kesihatan mereka sebab kita tahu mereka akan hantar terus kepada pelanggan yang tentu bersemuka dengan pelanggan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Fathil Asri
GAMBAR hiasan. FOTO Fathil Asri

Ismail Sabri berkata, Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan arahan kepada lebih 40 syarikat e-hailing sementara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengarahkan syarikat makanan segera untuk pastikan penghantar makanan menjalani saringan kesihatan itu.


“Selain itu, seperti saya umumkan semalam bahawa hasil mesyuarat memutuskan bahawa sebarang perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan termasuk pandu lalu dan tempah ambil tidak dibenarkan namun timbul kekeliruan berkaitan e-hailing.

“Saya ingin tegaskan lebih 40 syarikat e-hailing dibenarkan beroperasi termasuk penghantar makanan di restoran makanan segera sementara syarikat atau individu diupah di bandar kecil pula dibenarkan operasi tetapi kita meminta mereka berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya dapat mengesan mereka,” katanya.

Beliau berkata, difahamkan di Kuala Lumpur pihak penganjur bazar juga akan memulangkan semula deposit sewa tapak bazar Ramadan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 3:09 PM