TIGA maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring), Kuala Berang, malam tadi. FOTO ihsan bomba
TIGA maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring), Kuala Berang, malam tadi. FOTO ihsan bomba
Zatul Iffah Zolkiply


TIGA maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring), Kuala Berang, malam tadi.

Kejadian dipercayai berlaku pada 7.30 malam membabitkan treler membawa muatan bijih besi amang dan sebuah kereta Toyota Vios dinaiki lima lelaki.

Mereka yang maut adalah pemandu Toyota Vios, Noriskandar Muzafar, 33; penumpang hadapan, Wan Ahmad Adam Murshidy Wan Rosli, 24, dan penumpang belakang, Zulkarnain Buniyami, 18.

Dua lagi penumpang kereta Toyota Vios, Afif Safwan Mohd Zuki, 21, dan Mohamad Rusydi Md. Said, 26, cedera manakala pemandu treler berusia 24 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika treler dalam perjalanan dari arah Gua Musang, Kelantan menghala ke Pelabuhan Gebeng, Kuantan, Pahang.

Katanya, lima lelaki yang menaiki kereta itu pula dikatakan dalam perjalanan dari arah Bera, Pahang menghala ke Perak.

ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring), Kuala Berang, malam tadi. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring), Kuala Berang, malam tadi. FOTO ihsan bomba

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dikatakan terlanggar lopak air lalu hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan treler.

"Kereta terbabit merempuh bahagian hadapan treler menyebabkan tiga mangsa iaitu pemandu, penumpang hadapan dan seorang penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian.

"Dua penumpang Toyota Vios yang cedera dibawa Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan manakala mayat tiga mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Pegawai Bomba Kanan 11 Mohd Zumizan Sidek berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.59 malam sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat dua mangsa tersepit di bahagian pemandu dan bahagian penumpang hadapan kereta Toyota Vios.

"Kami mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan dua mangsa yang maut itu.

"Empat lagi termasuk seorang lagi yang meninggal dunia dikeluarkan orang awam sebelum mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Hulu Terengganu.

"Mayat tiga mangsa pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 1:47 AM