HOSPITAL Sultanah Nur Zahirah. FOTO Rozainah Zakaria
HOSPITAL Sultanah Nur Zahirah. FOTO Rozainah Zakaria
Zatul Iffah Zolkiply


MANGSA yang parah dalam kemalangan mengorbankan empat rakannya di di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris- Sungai Gawi (Aring), Kuala Berang malam tadi menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Mohamad Rusydi Md Said, 26, dirujuk ke HSNZ selepas menerima rawatan awal di Hospital Hulu Terengganu dan keadaannya ketika ini stabil walaupun terpaksa menggunakan bantuan alat pernafasan.

Abangnya, Radzali, 33, berkata, dia dimaklumkan adiknya itu hanya mengalami kecederaan luaran sahaja.

"Memang sekarang dia diberi bantuan alat pernafasan tetapi keadaannya stabil.

"Polis memaklumkan hanya adik seorang sahaja yang sedar selepas kejadian itu dan masih boleh memberi kerjasama kepada anggota yang bertugas dengan memberi maklumat identiti dirinya kerana kad pengenalannya gagal ditemui di lokasi ketika kejadian," katanya.

Dia yang tinggal di Kajang, Selangor hanya mengetahui tragedi menimpa adik bongsunya itu dan rakan-rakannya selepas dihubungi oleh ibunya, Hasnah Tan, 64, pada 1 pagi tadi.

"Ibu memaklumkan adik dan rakannya terbabit kemalangan selepas dihubungi ahli keluarga rakannya yang memandu kereta terbabit kerana kami memang mengenali di antara satu sama lain.

"Saya kemudiannya bergegas pulang ke kampung dan sampai di sini (HSNZ) kira-kira 8 pagi tadi," katanya.

Mohamad Rusydi dirujuk ke HSNZ bersama seorang lagi rakannya, Afif Safwan Mohd Zuki, 21, dari Kampung Banggol Tok Jiring di Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, Afif Safwan disahkan meninggal dunia pada 10.17 pagi hari ini selepas hampir 15 jam bertarung nyawa.

Berita berkaitan

Baju bayi bakal lahir hadiah terakhir suami

[UPDATE] 1 lagi mangsa kemalangan meninggal dunia

Tiga maut kereta bertembung treler

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 5:35 PM