Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

SEORANG guru maut selepas dipercayai dipanah petir ketika dalam perjalanan dari sekolahnya, Sekolah Kebangsaan Bungan Besar, Batang Igan dekat Dalat menuju ke Sungai Kut dengan menaiki perahu petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Saga Chunggat, berkata seorang doktor dari Hospital Dalat mengesahkan Alvin Chelen, 22, mengalami kecederaan parah di kepala akibat di panah petir dalam kejadian itu, dan kesan terbakar juga dapat dilihat pada rambut dan baju guru berkenaan.

"Kejadian berlaku kira-kira 5 petang tadi tidak jauh dari Rumah Panjang Penguang ketika guru itu sedang dalam perjalanan balik dari sekolah menuju ke Sungai Kut, Dalat. Dia sedang mengemudi perahu panjang itu seorang diri ketika kejadian," katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau berkata, ada dua orang saksi kejadian yang mengekori perahu itu menggunakan sebuah perahu lain kira-kira 25 meter di belakangnya, dan kejadian berlaku ketika hujan renyai.

"Menurut saksi, mereka dapat melihat panahan petir dari langit tiba-tiba menyambar guru itu sehingga menyebabkan dia rebah dalam perahunya," katanya, sambil menambah saksi-saksi itu kemudiannya menunda perahu berkenaan hingga ke jeti Sungai Kut sebelum menghubungi polis.

Mayat dihantar ke Hospital Dalat untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 11:31 PM