BERSYUKUR menyanyi solo diterima baik peminat. FOTO Shahril Badri
BERSYUKUR menyanyi solo diterima baik peminat. FOTO Shahril Badri
Norhayati Nordin

WALAUPUN bakat nyanyiannya bermula ketika berusia 15 tahun, Kucaimars tetap mengutamakan pelajaran.

Mengikuti pengajian Diploma Teknologi Kreatif dan Teater di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Kucaimars, 22, mula berani mengatur langkah sebagai penyanyi sekitar 2018.

Itupun selepas pengajiannya di UiTM tamat.

Pemilik nama sebenar Amirul Husyairi Nani ini berkata, sebaik tamat pengajian pada pertengahan 2018, dia terus terima tawaran daripada Warner Music dan kemudian dipilih menyertai program uji bakat Big Stage musim kedua.

“Saya tidak meletak harapan langsung pada persaingan awal dalam Big Stage 2 itu kerana kurang yakin disebabkan tahu tiada peminat.

“Saya anggap pasti tersingkir awal kerana tiada siapa yang kenal Kucaimars jika dibanding dengan peserta lain. Jadi, saya sedia untuk terkeluar,” katanya.

Bagaimanapun, sangkaannya meleset dan Kucaimars bertahan sehingga minggu separuh akhir Big Stage 2. Malah, dia juga mampu mengumpul peminat.

“Alhamdulillah, jumlah pengikut Instagram saya naik mendadak lebih 40,000 orang ketika itu dan ia pencapaian sangat positif. Malah, saya jadi lebih bersemangat untuk bersaing setiap minggu.

“Terus terang, dalam Big Stage 2 pelbagai pengalaman baharu dapat saya timba termasuk banyak belajar mengenai muzik. Malah, jika ada peluang saya mahu bersaing dalam pertandingan lagi,” katanya.

Kucaimars berkata, dia sudah jatuh minat dan tidak gentar untuk berhadapan persaingan sesama peserta lain di pentas pertandingan program realiti TV.

SIMPAN impian berkongsi pentas dengan kumpulan muzik terkenal. FOTO Shahril Badri
SIMPAN impian berkongsi pentas dengan kumpulan muzik terkenal. FOTO Shahril Badri

Mengulas mengenai perancangan kerjaya nyanyiannya tahun ini, Kucaimars berkata, dia dalam proses menyiapkan lagu baharu untuk muncul bersama band.

“Selain tampil menyanyi solo, saya lebih selesa menyanyi dengan band. Apatah lagi, saya ada band sendiri iaitu The Mars.

“Penubuhan band saya sejak zaman sekolah dengan nama Q4. Cuma, seiring masa berlalu dan kematangan usia kami, nama The Mars sangat sesuai.

“Apapun, kini saya bersyukur menyanyi solo diterima baik peminat. Dua lagu saya iaitu Jawab dan Khayalan mendapat sambutan baik,” katanya.

Berterima kasih dengan sokongan peminat, Kucaimars berkata, dia sangat meminati kumpulan seperti Sheila On 7, Akim & The Majistret dan Bunkface.

Katanya, dia turut menyimpan impian dapat berkongsi pentas dengan kumpulan pemuzik diminatinya itu.

Pertaruh lagu putus cinta

Pengalaman jatuh cinta dan putus kasih ketika zaman belajar menjadi kenangan dalam hidup setiap orang.

Sama ada dialami sendiri atau perkongsian rakan, perihal putus cinta mampu menjadi ilham mencipta lagu.

Menurut Kucaimars, pengalaman putus cinta dilalui seorang rakan baiknya sudah berjaya dicipta sebagai lagu yang bakal dipertaruhkan tidak lama lagi.

“Saya dapati pendengar muzik di negara ini lebih minat dan sukakan lagu putus cinta. Jadi, saya ambil peluang itu cuba hasilkan lagu.

“Alhamdulillah, ia hampir disiapkan dan saya berharap lagu itu menjadi tarikan pendengar. Semoga percubaan ini berjaya,” katanya.

Mengulas peribadinya yang mungkin dalam percintaan, Kucaimars berkata, dia belum terfikir ke arah itu.

“Saya mahu membahagiakan ibu tersayang dahulu. Wajar sebagai anak, saya menggembirakan ibu bapa dan keluarga sebelum mahu berkahwin.

“Kasih sayang pada ibu saya sukar digambarkan. Justeru, kalau ada kekasih pun saya akan pastikan calon itu direstui ibu,” katanya.

Kucaimars yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, ibu bapa dan keluarga adalah keutamaannya dan sentiasa diberi perhatian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 6:00 AM