GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hadzlihady Hassan


KETUA pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat jual beli emas bersama pemandunya ditahan kelmarin, selepas membuat laporan polis palsu kononnya disamun membabitkan kerugian RM1 juta.

Lelaki berusia 26 tahun bersama pemandunya yang berusia 30 tahun berkenaan membuat laporan mendakwa disamun seorang lelaki di hadapan sebuah stesen minyak di Bandar Perda di Bukit Mertajam, Sabtu lalu.

Sebaliknya, siasatan polis mendapati kedua-dua lelaki itu membuat laporan palsu berkenaan kerana mahu membuat tuntutan insurans.

Susulan itu, polis menahan dua lagi lelaki berusia 51 dan 23 tahun selepas didapati bersubahat dengan suspek apabila bertindak sebagai penasihat dan juga ‘penyamun’ dalam kegiatan yang dirancang itu.

Difahamkan, kejadian samun ‘olok-olok’ itu dilakukan mereka di stesen minyak terbabit bagi membolehkan ia dirakam kamera litar tertutup di situ untuk meyakinkan polis penipuan mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam laporan polis, CEO terbabit mendakwa dia bersama pemandu keluar dari kedai emas di Bandar Perda pada 3.50 petang, Sabtu lalu selepas selesai menjalankan urusan perniagaan.

Menurutnya, suspek mendakwa dia membawa sebuah beg mengandungi wang tunai berjumlah RM418,000 dan pelbagai barang kemas bernilai lebih RM600,000 sebelum disamun seorang lelaki.

“Ketika kejadian, suspek memberitahu dia berada dalam kereta, manakala pemandunya turun untuk membeli air ketika mereka berhenti di sebuah stesen minyak.

“Dia mendakwa seorang lelaki secara tiba-tiba masuk melalui pintu belakang kereta dan terus mengambil beg mengandungi wang tunai dan barang kemas sebelum melarikan diri dengan motosikal,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Bagaimanapun, Nik Ros Azhan berkata, siasatan lanjut mendapati suspek yang juga CEO syarikat jual beli emas beroperasi di Batu Pahat, Johor itu sebenarnya membuat laporan palsu.

“CEO terbabit didapati berpakat bersama pemandu serta dua lagi rakan yang bertindak sebagai penasihat dan penyamun dalam kes itu kerana mahu membuat tuntutan insurans.

“Siasatan lanjut juga mendapati beg yang dilarikan ‘penyamun’ dan dibuang dalam longkang di kawasan berhampiran sebenarnya hanya mengandungi batu,” katanya.

Menurutnya, semua suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 12:44 PM