SHAHERWAN mengetepikan rasa gementar demi menjalankan tugasnya sebagai jurugambar dari awal hingga akhir sesi fotografi.
SHAHERWAN mengetepikan rasa gementar demi menjalankan tugasnya sebagai jurugambar dari awal hingga akhir sesi fotografi.
Redzuan Muharam


KUALA LUMPUR: “Memang impian saya untuk mengabadikan memori indah pada hari bahagia dengan mengambil gambar bersama ular peliharaan.

“Syukur kerana impian itu akhirnya menjadi kenyataan,” kata Noor Arifah Mohamad Yusop, 27, yang menjadikan ular peliharaan sebagai prop pada sesi fotografi perkahwinannya di Taman Rekreasi D R Seenivasagam, Ipoh, Perak, Ahad lalu.

Sesi fotografi Noor Arifah bersama suaminya, Safwan Azim Shukri, 24, bermula jam 4 hingga 6.30 petang itu membabitkan tujuh ekor ular spesies Ball Python dan Burmese Python serta seekor burung kakak tua.

Bercerita lanjut Noor Arifah berkata, idea menggunakan ular sebagai prop pada sesi fotografi itu atas persetujuannya bersama suami.

Katanya, selain minat terhadap reptilia berkenaan, konsep itu dipilih kerana dia mahukan kelainan untuk gambar perkahwinan.

“Saya memelihara ular sejak tiga tahun lalu dan kebetulan, suami berkongsi minat sama. Suami juga pernah hadiahkan seekor ular sebagai hadiah ketika zaman kami bercinta dulu.

“Berikutan sudah biasa mengendalikan reptilia kami berdua tidak kekok melakukan pelbagai aksi sepanjang sesi fotografi,” katanya.

Bagi mendapatkan foto berkualiti Noor Arifah berkata, dia mendapatkan khidmat jurugambar , Shaherwan Ab Wahab, 39.

Selain menjadikan ular sebagai prop dia turut dibantu beberapa rakan bertujuan menghidupkan lagi suasana.

“Walaupun tidak biasa dengan ular, saya hargai usaha jurugambar yang amat profesional dalam menjalankan tugas.

“Selain itu, saya turut berterima kasih kepada rakan kerana banyak membantu malah sesi fotografi jadi lebih mudah kerana mereka juga sudah biasa bermain dengan ular,” katanya.

Sementara itu Shaherwan, mengakui gementar untuk melaksanakan tugas berkenaan kerana belum pernah mengendalikan sesi fotografi menggunakan reptilia sebagai prop sepanjang 12 tahun dalam bidang itu.

Namun, dia bersetuju untuk menerima tugasan berkenaan kerana mahu menyahut cabaran dan menimba pengalaman baru.

“Saya dimaklumkan untuk melakukan tugasan ini kira-kira dua minggu sebelum sesi fotografi berlangsung dan ikutkan, saya memang geli dan tipulah kalau cakap tidak takut pada ular.

“Namun, saya ketepikan perasaan itu demi memenuhi kehendak Noor Arifah kerana apa yang lebih penting adalah impiannya dapat direalisasikan.

“Mulanya memang agak gementar tetapi perasaan itu hilang dan mula membiasakan diri memegang reptilia berkenaan. Terima kasih kepada pasangan ini yang beri kepercayaan kepada saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 10:01 AM