DARLING dan Ieda Moin
DARLING dan Ieda Moin
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


KECOH seketika baru-baru ini apabila aksi mesra pelakon utama drama Setelah Ku Dimiliki, Zul Ariffin dan Intan Najuwa tular di laman sosial.

Pengarah drama terbabit, Osman Ali pula mengakui gambar berkenaan bukanlah sebahagian daripada gimik bagi menaikkan ‘rating’ drama itu.

Malah, babak intim itu juga langsung tiada dalam drama terbabit.

Persoalannya sama ada gimik atau sekadar untuk suka-suka, wajarkah perkara ini dilakukan?

Dalam konteks begini, agak kurang manis aksi sedemikian dilakukan apatah lagi status Intan sebagai tunang orang.

RapXtra mendapatkan pandangan beberapa artis terhadap isu hangat ini.

Darling Ngasri (Penerbit, pelakon)

“Sama ada sudah bertunang atau tidak, batas lakonan mesti dijaga. Sebagai penerbit, saya selalu pesan kepada pengarah dan penulis skrip supaya berhati-hati menulis serta elakkan babak atas katil atau bersentuhan.

Secara asasnya, melalui skrip pengarah boleh kawal perkara ini. Saya sendiri malu tengok adegan begini.

Kena ingat kita tetap bawa imej Islam dan masyarakat yang terkenal dengan kesopanan yang tinggi. Setiap pelakon kena ada had sendiri.

Saya juga pernah berlakon dan seboleh-bolehnya elak berpegangan tangan dengan pelakon lelaki. Akhirnya apabila siap dengan lakonan dan dialog tetap nampak kemesraan itu tanpa bersentuhan. Tidak cacat pun drama itu.”

Ieda Moin (Penyanyi, pelakon)

“Kalau dari segi hukum memang tak wajar kerana Intan sudah menjadi tunang orang.

Dia sepatutnya menjaga batasan sebagai bakal seorang isteri. Namun, jika dari segi profesional, dia bekerja mencari rezeki dalam bidang seni dan menjadi tanggungjawab melunaskan naskhah yang diberikan yang dia sendiri sudah maklum apa bakal dilakukan kerana pasti sudah membaca skrip.

“Sebenarnya pucuk pangkal daripada dia sendiri, kalau dia menolak demi menjaga hati pasangan dan keluarga serta faham hukum, pasti dia akan menolak atau berbincang dengan pengarah atau sesiapa yang berkenaan untuk memudahkan sesuatu karya dilakonkan supaya tidak menjadi fitnah.”

Qazem Nor (pelakon)

“Sebagai pelakon, apabila dapat skrip, kita akan tengok bagaimana perjalanan cerita. Kita akan dapat tahu sama ada akan ada adegan romantis atau tidak. Tak kisahlah sama ada seseorang artis itu sudah bertunang atau sebaliknya, aksi ini dikira melampau.

Era sekarang, ramai pelakon dan kru sudah mula solat di lokasi dan pendedahan terhadap perkara ini memang ada. Tapi apabila gambar ini tular, sudah pasti orang akan cakap ‘over’. Netizen pasti akan kecam dan ia bukanlah sesuatu yang baik untuk industri lakonan kita.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 5:25 AM