FADZIL yakin dakwaan itu bukan datang daripada Faye mahupun Azmi. FOTO Arkib NSTP
FADZIL yakin dakwaan itu bukan datang daripada Faye mahupun Azmi. FOTO Arkib NSTP
Rudy Imran Shamsudin


PENERBIT drama kontroversi Voice Note yang ditayangkan di TV3 baru-baru ini, Zeel Production Sdn Bhd (ZPSB), tidak mengambil serius dakwaan dibuat pihak luar yang menuduhnya sengaja mahu memburukkan nama baik Azmi Hatta dan cuba menabur pasir ke periuk nasi pengarah drama itu.

Dakwaan dimuat naik di laman sosial oleh individu yang menggunakan nama DK Faradnil itu turut mendedahkan ZPSB sengaja menjadikan adegan seks yang dirakam sewaktu penggambaran drama bersiri Voice Note itu, sebagai satu isu bagi menaikkan rating.

Ada pihak menuduh dakwaan dimuat naik menggunakan identiti DK Faradnil itu sebenarnya dilakukan oleh dramatis, Faye Kusairi juga isteri kepada Azmi.

Jelas dakwaan dibuat mendedahkan, penggambaran adegan dianggap sensitif itu memang ada dalam skrip yang mana penulisnya juga adalah kakitangan ZPSB sendiri. Skrip dirombak dua kali dan babak itu dikekalkan.

Sebagai pengarah, Azmi tetap merakam adegan itu bagi mengikut kehendak skrip dan produksi.

Pengarah Urusan ZPSB, Fadzil Teh sewaktu dihubungi hari ini berkata, dia yakin dakwaan itu bukan datang daripada Faye mahupun Azmi.

Dia turut menegaskan adegan seks membabitkan pelakon utama Voice Note iaitu Ikmal Amry dan Scha Elinnea, yang diketengahkan sebelum ini tidak seharusnya dijadikan isu.

“Saya tidak baca pun dakwaan yang dimuat naik di laman sosial terbabit. Saya hanya tahu tuduhan dibuat menerusi rakan yang sudah membacanya.

“Ada yang menuduh Faye menulis dan memuat naik di laman sosial, tetapi apabila saya lihat laman sosialnya, ia tidak ada.

“Lagipun mengapa saya mahu ambil pusing dengan semua tuduhan dibuat sedangkan individu bernama DK Faradnil itu hanya memiliki empat senarai rakan dalam Facebook. Dari sudut itu saja ia sudah menimbulkan kesangsian sama ada mahu mempercayainya atau tidak,” katanya.

Fadzil berkata, dia tidak kisah jika Azmi mahu merakam adegan seks itu untuk kepuasan berkarya, andai ia untuk tayangan filem.

“Siapa yang tidak suka adegan seks, bagaimanapun bagi stesen televisyen ia satu pembaziran kerana kita sudah tahu adegan seperti itu memang tidak akan lepas untuk tayangan.

“Apa yang saya kesalkan adalah, apabila pengarah terus merakamkan adegan itu dan dia membazir masa, tenaga pelakon serta wang ringgit. Itu yang buat saya terkilan. Kalau benda boleh tayang saya okey saja,” katanya.

Menurutnya, memang adegan itu ada dalam skrip, tetapi sebagai pengarah dia seharusnya tahu akan kepentingan babak itu sama ada diluluskan atau tidak. Andai ia untuk filem, adegan seperti itu memang tiada masalah.

Begitupun Fadzil tidak meletakkan kesalahan kepada Azmi, kerana sedar pengarah drama Voice Note itu turut tertekan dalam menghasilkan karya terbabit.

“Macam mana tidak tertekan apabila dia diberikan harapan tinggi oleh pihak produksi dan stesen televisyen.

“Tambahan pula, tawaran untuk menghasilkan drama ini agak lewat dan sebaik surat tawaran keluar dua minggu selepas itu penggambaran sudah dimulakan.

“Jalan cerita Voice Note juga berbeza berbanding dengan drama yang sedia ada sebelum ini,” katanya.

Fadzil juga menafikan dia sengaja mewujudkan isu adegan seks dalam drama Voice Note dengan harapan ia menjadi isu dan hangat diperkatakan.

Apabila perkara itu berlaku ia dapat menandingi drama Nur 2, ini kerana Voice Note ditayangkan sebaik saja Nur 2 tamat seperti mana dakwaan dibuat DK Faradnil.

“Walaupun perkara ini ditimbulkan saya dengan Azmi memang tidak ada masalah, malah bersedia untuk bekerjasama lagi dengannya selepas ini,” katanya.

Berita berkaitan

Adegan lucah dalam Voice Note?

Pelakon Voice Note bimbang kena kecam

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 5:47 PM