JATT sertai GV6
JATT sertai GV6
Oleh Rudy Imran Shamsudin


SEJAK musim ke dua hingga ke lima, baru sekarang vokalis kumpulan Black Dog Bone (BDB), Jatt dapat menyertai program realiti popular terbitan Astro, Gegar Vaganza musim keenam (GV6).

Ramai menyambut baik pembabitannya dalam GV6 terutama peminat setia BDB yang rindu melihat Jatt beraksi secara langsung.

Tidak dinafikan pembabitan Jatt atau nama sebenarnya Tahir Ali dalam GV6 bakal memberikan saingan kuat kepada 12 peserta lain antaranya Wann, Sham Visa, Noorshila Amin, Naqiu (Boboy), Ameer (Sofazr) dan penyanyi Singapura, Hady Mirza

Turut terpilih untuk bertanding tahun ini Mazleela, Feeza, Nur Fatimah dan Roy yang pernah popular dengan lagu Ratnaku, Kool (Hairie dan Riot) serta One Nation Emcees.

Sebagai penyanyi berpengalaman dan masih aktif menyanyi di kelab, vokal Jatt masih kedengaran mantap sewaktu tampil di pentas menyanyikan lagu Khayalan pada majlis memperkenalkan perserta GV6.

Datuk Ramli MS sendiri sewaktu ditemui sebaik majlis selesai memuji suara dan persembahan Jatt manakala Wann disifatkan menyanyi dengan ikhlas serta datang dari hati.

Apabila ditanya mengenai kelebihan dimiliki berbanding peserta lain dan bakal menjuarai GV6, penyanyi kelahiran Singapura yang kini menetap di Johor Bahru ini menjelaskan, pujian dan jangkaan awal membuatkan dia bimbang.

“Apabila kita bertanding, pelbagai perkara boleh berlaku dan apabila orang berkata saya mempunyai kelebihan dan bakal jadi juara itu membuatkan saya takut.

“Saya takut dengan harapan orang. Andai saya sakit dan tidak dapat menyanyi dengan baik, takkan saya akan diumumkan sebagai pemenang. Perkara sebegini sudah pasti mengundang rasa kurang senang penonton setia GV6,” katanya.

Jatt berkata, biarpun tidak menyertai GV sebelum ini, dia mengikuti perkembangan penyanyi yang bertanding.

“Contoh mudah, kita lihat Zamani. Dia memang penyanyi yang bagus. Malah, sejak awal pembabitannya ramai meletakkan harapan tinggi dia akan menjuarai GV5.

“Bagaimanapun ketika bertanding, ada minggu dia sakit dan tidak dapat menyanyi dengan baik. Ia sekali gus mempengaruhi juri dan umum hingga dia tidak dipilih sebagai juara.

“Bayangkan kalau ketika itu dia diumumkan juga sebagai juara, pasti timbul banyak pertikaian. Perkara seperti ini tidak boleh berlaku dan juri mahupun produksi perlu telus,” katanya.

Kata Jatt, ketika ini dia tidak mahu memikirkan harapan umum mahu meletakkan dirinya sebagai juara, sebaliknya dia mengharapkan semua orang yang mahu menyokongnya mendoakan agar kesihatannya baik sepanjang berjuang dalam program realiti itu.

“Saya memang tidak minta banyak selain diberikan kesihatan dan kekuatan tubuh badan agar membolehkan muncul di pentas serta mengadakan persembahan setiap minggu,” katanya.

Menjelaskan mengapa dia perlu menunggu GV6 untuk menyertai program realiti popular itu, kata Jatt sebelum ini dia terikat dengan jadual kerja yang ketat.

“Pernah saya tidak datang menyanyi di kelab tempat saya bekerja, pengunjung tidak mahu datang. Melihat kepada perkembangan itu majikan tidak membenarkan saya ambil cuti.

“Tapi kali ini, Alhamdullilah saya memperoleh kebenaran dan diberikan cuti bagi menjayakan GV6. Mungkin sudah tertulis kali ini rezeki saya ada untuk menyertai Gegar Vaganza,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 5:20 AM