AREEL.
AREEL.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pengarah filem Geran, Areel Abu Bakar menyifatkan kejayaan filem itu disenaraikan dalam laman web Asian Movie Pulse sebagai 20 filem terbaik di Asia Tenggara bagi tahun 2020 adalah rezeki serta pencapaian terbaik.

Areel ketika dihubungi berkata, dia tidak menyangka filem pertama arahannya itu boleh dikenali sejauh ini selain jalan ceritanya mengangkat seni persilatan Melayu.

"Saya hanya mampu bersyukur dengan penghargaan ini. Saya hasilkan filem Geran untuk penonton dan masyarakat Malaysia supaya menghargai warisan seni mempertahankan diri seperti silat. Namun, tak sangka pula impak kisah yang saya ketengahkan dalam filem itu turut menarik perhatian besar daripada orang luar, sekali gus nampaklah kemampuan karya tempatan kita.

 "Selain dapat perhatian penonton negara Asia Tenggara, hari ini juga saya dapat berita mengenai filem Geran ini tersenarai di tangga ketiga dalam pilihan penonton di Asia. Kiranya mampu juga bersaing dengan filem dari Hong Kong, Jepun dan Korea Selatan," katanya.

Menurut Areel, dengan beberapa pengiktirafan diraih filem Geran pada 2020, secara tidak langsung dia berasakan susah-payahnya dalam berkarya sangat berbaloi.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua orang yang sudah menonton filem Geran. Alhamdulillah, saya sangat gembira apabila mesej ingin disampaikan dalam filem ini dapat diterima penonton.

"Saya juga sebenarnya ada perancangan untuk menghasilkan sekuel filem Geran yang lokasi penggambaran di luar negara. Bagaimanapun, buat masa ini ditangguhkan lagi kerana penularan Covid-19 dan dana diperlukan pun tidak mencukupi," katanya.


Menurut Areel, dia sangat berbesar hati sekiranya ada pihak korporat berminat untuk bekerjasama sebagai penaja dana filem itu.

Katanya, penggambaran filem Geran 2 dirancang bermula hujung tahun 2021.

Geran dibintangi Nam Ron, Khoharullah Majid, Feina Tajuddin, Fad Anuar dan Megat Shahrizal. Manalaka, koreografer aksi silat pula adalah Azlan Komeng.

 Selain filem Geran, empat lagi filem tempatan yang tersenarai ialah ialah Victimv(s) arahan Layla Zhuqing Ji, Malu (Edmund Yeo), Roh (Emir Ezwan) dan Sometime, Sometime (Jacky Yeap).

Antara kriteria dinilai badan bukan berasaskan keuntungan yang mengetengahkan produk perfileman Asia itu adalah potensi pembikinan dan kualiti karya yang menembusi platform tontonan global seperti festival filem antarabangsa dan penstriman video dalam setiap filem.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 6:38 PM