Mohd Firdaus Ibrahim dan Hafizul Helmi Mohd Nor


KELUASAN perairan negara mencecah 614,000 kilometer persegi antara cabaran utama dihadapi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam menguatkuasakan undang-undang maritim terutama bagi memerangi jenayah merentasi sempadan.

APMM yang ditubuhkan secara rasmi pada 15 Februari 2005 kini berusia 14 tahun. Biarpun disifatkan sebagai badan penguatkuasaan yang masih muda, kejayaan agensi itu dalam menjaga kedaulatan negara tidak boleh diremehkan.

Namun, APMM kini berdepan sindiket terancang seperti penyeludupan rokok, migran dan dadah yang menggunakan teknologi canggih untuk menjayakan kegiatan haram mereka.

Ikuti wawancara wartawan, MOHD FIRDAUS IBRAHIM dan HAFIZUL HELMI MOHD NOR bersama Ketua Pengarah APMM DATUK MOHD ZUBIL MAT SOM bagi menjelaskan hala tuju agensi berkenaan.

Pada awal penubuhan APMM, apa cabaran dihadapi?

Semasa mula melancarkan operasi pada 2006, APMM ketika itu menghadapi pelbagai kekangan.

Umpamanya, ketiadaan pegawai siasatan dan bilik tahanan. Agensi berdepan kesulitan dari sudut mengendalikan kertas siasatan, menyimpan tahanan dan sebagainya.

Lantas, kami mengadakan kursus yang berkaitan dengan menghantar pegawai dan anggota menjalani latihan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kini, penguat kuasa APMM mampu mengendalikan kes jenayah termasuk kes besar seperti rompakan serta penyeludupan dadah yang mana kebanyakan kes dapat diselesaikan dengan baik selain banyak pendakwaan kes berjaya disabitkan di mahkamah.

Ancaman terkini dan bagaimana Datuk melihat APMM mampu menanganinya?

Ancaman yang dihadapi berbeza mengikut kawasan perairan. Ini disebabkan kedudukan geografi negara kita yang strategik.

Contoh, di Selat Melaka, ancaman yang dihadapi seperti penyeludupan rokok, pendatang asing tanpa izin (Pati) dan dadah. Berlainan pula ancaman di sebelah Pantai Timur. Ancamannya banyak berpunca daripada aktiviti pencerobohan bot nelayan asing yang merompak hasil laut negara.

Saya percaya, penyusunan strategi operasi mantap seperti penempatan aset yang bersesuaian mampu mematahkan aktiviti jenayah seperti ini.

Ini juga antara amanat saya dalam memperkasakan APMM, dengan cara memperhebatkan strategi operasi.

Dalam konteks ini, APMM perlu lebih bijak dan sentiasa mengaplikasikan strategi dinamik bagi menyekat peluang penjenayah untuk melakukan jenayah di perairan negara kita.

Di Selat Melaka contohnya, APMM berdepan dengan ancaman penyeludupan rokok, Pati dan dadah kerana jarak dengan negara jiran sangat dekat.

Kebanyakan sindiket menggunakan bot pancung. Oleh itu, di kawasan seperti ini, kita perlukan aset yang boleh memintas kemasukan mereka.

Pengalaman saya ketika menjawat jawatan Pengarah Operasi di APMM Johor sering memperlihatkan bahawa kelajuan bot APMM dapat mematahkan kegiatan bot pancung sindiket.

Ini bermakna selaku Ketua Pengarah, saya perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keupayaan sistem penguatkuasaan yang merangkumi bot, kapal, peralatan perisikan seperti radar, penyiasatan dan pendakwaan, strategi operasi APMM, perkongsian maklumat dan perkara bersangkutan.

Taktik terkini sindiket?

Taktik sindiket sentiasa berubah. Jika sebelum ini mereka menggunakan bot pancung, kini guna tongkang pula.

Proses pertukaran barang akan berlaku di bot umpit, di tengah laut (perairan antarabangsa). Mereka akan himpit dan isi barang sebelum seludup masuk ke kawasan kita.

Kedua, mereka menggunakan bot tempatan untuk mengambil barang atau Pati di tengah laut. Bot mereka akan beratur dengan banyak dan masuk ke kawasan kita dengan bot lain sekitar jam 6 pagi.

Mereka ubah strategi, kita periksa pula bot nelayan. Terkini, kapal tukar barang pula terus masuk ke jeti. Apabila ditahan, mereka memberi alasan hendak ke Thailand atau Vietnam.

APMM mengendalikan jenayah seperti ini dengan teliti bagi mengelakkan kes sukar dibuktikan di mahkamah.

Contoh, kita akan menunggu waktu yang tepat untuk menangkap mereka.

Sindiket selalu mencari jalan atasi kekuatan APMM. Bagaimana APMM mahu sentiasa ke depan berbanding mereka?

Perkembangan aset dan teknologi perlu seiring. Sebagai contoh, kita ambil Australia, negara luas berbanding Malaysia namun kekuatan anggota pengawal pantainya hanya sekitar 5,800.

Bagaimana Australia menguruskan sumber dan teknologi? Ini sesuatu yang perlu kita pelajari daripada mereka.

Kedua, pengumpulan maklumat risikan penting. Dulu kita guna strategi pencegahan di sesuatu kawasan, namun kini APMM banyak menggunakan teknologi bersama aset-aset baru.

APMM juga sedang dalam perancangan untuk memperhebatkan penggunaan teknologi moden dan canggih.

Kami juga memanjangkan permohonan perolehan kapal induk bersama bot laju yang dilengkapi dengan enforcer multiplier.

Aset ini dapat melancarkan operasi penguatkuasaan dengan lebih pantas, berkesan dan komprehensif.

Ia bukan saja menjimatkan kos sebaliknya mampu menjadikan APMM lebih efisien selain meningkatkan moral pegawai dan anggota.

Selain itu, APMM juga melaksanakan program kerjasama strategik dengan agensi keselamatan maritim luar negara yang banyak menyelesaikan kes serta kekangan semasa yang dihadapi.

Bagaimana hendak atasi kegiatan penyeludupan di perairan negara?

Kerjasama semua agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perikanan serta PDRM amat penting.

Kegiatan penyeludupan apa pun bermula dari daratan dan berakhir juga di darat.

Laut hanyalah perantara atau laluan saja. Saya lihat penguatkuasaan di laut saja tidak akan lengkap tanpa susulan terhadap sindiket di darat.

Contoh, kes pencerobohan nelayan asing, mereka gunakan dokumen palsu dan bot klon. Tapi bagaimana mereka tahu ada bot didaftarkan tanpa bantuan orang di darat?

Begitu juga dengan bekalan minyak, dari mana mereka dapat?

Jika mereka hendak balik ke Vietnam, perjalanan itu jauh. Jadi, kita akan buru sepenuhnya sindiket di darat.

Itu juga amanat saya kepada pegawai APMM. Sebarang tangkapan di laut perlu juga menyiasat sindiket yang berada di darat bagi menyelesaikan masalah itu sepenuhnya.

Kerjasama antara kerajaan juga penting. Contoh, kes pencerobohan bot nelayan Vietnam di perairan kita.

Selain memperhebatkan operasi menangkap bot-bot mereka seperti dalam Op Naga, kita juga perlu menghantar mesej jelas dan tegas kepada negara Vietnam supaya mereka mengambil tindakan lebih serius untuk mendidik nelayan mereka daripada menceroboh perairan negara jiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 7:00 AM