Ameer mengutip sampah di kawasan pantai berhampiran rumahnya di Kampung Teluk Belanga, Kuala Sungai Baru di Melaka. Foto Ihsan Ameer Roslan
Ameer mengutip sampah di kawasan pantai berhampiran rumahnya di Kampung Teluk Belanga, Kuala Sungai Baru di Melaka. Foto Ihsan Ameer Roslan
Redzuan Muharam


“NAK angkat senjata aku tak mampu, apatah lagi nak gi (pergi) berperang. Yang aku mampu angkat dan kutip sampah sebanyak mungkin dan misi utama ubah mentaliti masyarakat,” demikian coretan pencinta alam sekitar, Ameer Roslan, 28, di akaun Instagram (IG) miliknya, ameerulss.

Ameer adalah jurugambar sepenuh masa yang gemar meluangkan masa terluang dengan mengutip sampah di pantai berhampiran rumahnya dan kawasan sekitar.

Menurutnya, aktiviti sukarela itu dilakukan sejak tahun lalu dan didorong oleh keinginannya untuk memastikan persekitaran itu bersih selain memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan.

“Rumah saya terletak berdepan dengan pantai, kira-kira 100 meter saja dan kawasan berkenaan menjadi tempat kunjungan orang ramai berkelah terutama pada hujung minggu.

“Namun, terdapat segelintir pengunjung tidak bertanggungjawab meninggalkan sisa bekas makanan selepas berkelah hingga menjadikan persekitaran pantai kotor.

“Ada masanya, saya turut menemui sisa lampin pakai buang dan keadaan itu membuatkan saya terpanggil untuk mengutip sampah di situ sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ciapan perkongsian Ameer di akaun IG miliknya.
Ciapan perkongsian Ameer di akaun IG miliknya.

Bercerita lanjut, anak keenam daripada lapan beradik itu berkata, buat masa ini, aktiviti berkenaan dilakukan pada waktu petang dan tertumpu di kawasan pantai Kampung Teluk Belanga, Kuala Sungai Baru di Melaka yang berhampiran dengan rumahnya.

Sesekali, Ameer akan mengutip sampah di kawasan lain sekitar Melaka yang menjadi lokasi kunjungannya kerana tidak suka melihat persekitaran kotor.

“Buat masa ini, saya lakukan aktiviti itu berseorangan dan selalunya pada masa lapang ketika tiada temujanji sesi fotografi bersama dengan klien.

“Ada rakan yang berminat untuk turut serta tetapi masa tidak mengizinkan kerana terikat dengan komitmen kerja serta lain-lain urusan dan secara peribadi, saya tiada masalah untuk bergerak sendiri.

“Bagi menarik minat orang lain, saya membuat Vlog ketika mengutip sampah dan memuat naiknya di saluran Youtube selain berkongsi gambar di Facebook (FB) dan IG bukan untuk menunjuk tetapi lebih kepada memupuk kesedaran,” katanya.

Berkongsi pengalaman, Ameer berkata, dia pernah berdepan dengan sekumpulan individu yang tanpa segan silu meninggalkan sisa makanan ketika dia sedang mengutip sampah.

“Pada waktu itu, mereka baru selesai berkelah, manakala saya sedang mengutip sampah di kawasan berhampiran.

“Tanpa berasa bersalah, mereka berlalu pergi tanpa sisa makanan mungkin kerana menganggap saya adalah pekerja pembersihan di situ.

“Belum terlambat sebenarnya untuk masyarakat kita mengubah mentaliti itu dan ia boleh dilakukan dengan menghidupkan amalan mengutip sampah menerusi kempen #cleanupchallenge bermula dari sekarang,” katanya yang juga lepasan graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 8:00 PM