TIZ Zaqyah memuat naik ciapan di Twitter.
TIZ Zaqyah memuat naik ciapan di Twitter.
Sudirman Mohd Tahir

 

PELAKON popular, Tiz Zaqyah menyeru orang ramai yang bercadang untuk pergi bercuti di kawasan pantai bermula 10 Jun ini supaya sentiasa menjaga kebersihan.

Tiz menerusi ciapan di Twitter berkata adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan sampah dikutip dan bukannya buang merata.

"Yang seronok nak ke pantai bagai, tolonglah jaga kebersihan tu. Sampah jangan buang merata. Nampak sampah tepi pantai tu tolong lah kutip. 

"Ajar anak beranak hormat kebersihan tak kisahlah di mana-mana. Jangan jadi bangsa tak peduli. Jangan tunjuk diri ini bodoh ya. Ini 'general'," tulisnya.

Tiz yang juga pelakon Sara Sajeeda turut mengambil contoh senario yang berlaku di Tasik Dayang Bunting, Langkawi apabila tasik tumpuan pelancong itu kotor.

"Seram tengok Tasik Dayang Bunting sebelum ini. Ketika itu saya berada di situ. Saya pasti sekarang bersih sangat sebab tak ada lawatan beribu manusia. Tengok lah berapa lama perkara ini akan bertahan," katanya.

Ciapan Tiz itu mendapat maklum balas positif pengguna laman Twitter yang menyifatkan ia satu teguran yang baik.

Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk membenarkan aktiviti pelancongan domestik menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berkuat kuasa Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 1:02 PM