KUMPULAN sukarelawan Guardians of Mother Earth, Trash Hero, I-Cycle dan ETCM.
KUMPULAN sukarelawan Guardians of Mother Earth, Trash Hero, I-Cycle dan ETCM.
Nurul Husna Mahmud

Pantai antara destinasi riadah yang sering dikunjungi orang ramai bagi melakukan pelbagai aktiviti termasuk berkelah, berkhemah, menaiki bot dan memancing.

Bagi warga Kuala Lumpur dan Selangor, Pantai Bagan Lalang yang terletak 60 kilometer dari pusat bandar adalah pusat percutian yang paling menjadi tumpuan.

Di sebalik popularitinya, ada hakikat yang menyedihkan. Sekumpulan aktivis alam sekitar daripada Guardians of Mother Earth, Trash Hero dan I-Cycle yang melaksanakan kempen global sivik bersama Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) mendapati pusat perkelahan terbabit dicemari sikap pengunjung yang tidak bertanggungjawab.

Kempen sivik itu disertai 120 peserta termasuk kakitangan ETCM dan sukarelawan alam sekitar yang menjalankan aktiviti pembersihan pantai sepanjang 1.6 kilometer bagi mendapatkan pantai yang indah selain memastikan hidupan marin bebas daripada kekotoran serta pencemaran.

Menurut Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan, program pembersihan pantai itu adalah satu insiatif eko di bawah kempen Nissan Nurtures Nature yang dilancarkan sejak Jun lalu.

PANTAI terjejas dengan sampah.
PANTAI terjejas dengan sampah.

“Kami ingin meningkatkan kesedaran mengenai isu pembuangan sampah dan mendidik amalan positif untuk menambah baik kualiti hidup masyarakat.

“Kami harap aktiviti ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk memainkan peranan masing-masing dalam memulihara alam sekitar.

“Bukan sekadar di pantai, malah di tempat awam yang lain juga perlu dijaga.

Sudah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memelihara negara yang indah ini buat anak kita dan generasi akan datang,” katanya yang turut melahirkan kekesalan apabila sampah terutama beg plastik dan puntung rokok dibuang di merata tempat di kawasan pantai.

SUKARELAWAN gigih mengutip sampah.
SUKARELAWAN gigih mengutip sampah.

Sepanjang aktiviti pembersihan pantai ini, peserta mengutip lebih 200 kilogram (kg) barang terbuang termasuk 113kg barangan yang boleh dikitar semula, 86kg sampah dan enam kilogram puntung rokok.

Antara sampah yang sering dibuang ialah penyedut minuman, botol kaca dan plastik, pembungkus makanan, sudu dan garfu yang sering digunakan kala berkelah.

Data material bahan buangan ini akan dihantar ke pihak berkuasa Pembersihan Sedunia untuk dianalisis dan memahami lebih mendalam mengenai skala masalah pembuangan sampah di Malaysia.

Turut diadakan taklimat ringkas kepada sukarelawan, sesi meditasi pendek untuk berhubung dengan alam sekitar serta ceramah eko mengenai pengurusan sampah oleh aktivis alam sekitar. Kempen Nissan Nurtures Nature turut disertai kumpulan ETCM Butterworth dan ETCM Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 11:48 AM