ALYAH pada pelancaran video muzik Meluruh. -Foto MAHZIR MAT ISA
ALYAH pada pelancaran video muzik Meluruh. -Foto MAHZIR MAT ISA
Ramlah Zainal


SEPANJANG 19 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian sudah banyak pahit getir dilalui Datin Alyah.

Menurut pemilik nama sebenar Noor Hasliah Abu Hasan, 38, ini bagi peminat yang mengikuti perjalanan karier seninya pasti sudah mengetahui liku-liku dilaluinya untuk berada di tahap sekarang.

“Bayangkan, selepas lapan tahun menyanyi orang masih tidak kenal dan syarikat rakaman pun tidak percaya bakat saya ketika itu.

“Saya pernah jatuh dan jatuh lagi dalam tempoh mencari tapak dalam bidang seni.

“Namun, saya sudah diajar tampil dengan karya yang berkualiti dan bukannya kuantiti lagu dihasilkan pada setiap tahun,” katanya.

Alyah ditemui pada majlis pelancaran video muzik Single Meluruh yang berlangsung di pawagam TGV One Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Bercerita mengenai single terbaharunya itu, Alyah yang tidak dapat menahan sebak pada majlis pelancaran terbabit berkata, karya dihasilkan pada Disember 2018 itu cukup bermakna buat dirinya.


Single itu dihasilkannya bersama komposer Helen Yap dan liriknya oleh Slen Fadzil.

“Saya dapat idea untuk menghasilkan lagu ini ketika memandu dalam hujan lebat.

“Saya terus menghubungi Slen untuk menulis liriknya dan mendapatkan khidmat Helen untuk merealisasikan lagu ini.

“Terus terang, lagu ini berat untuk disampaikan dan membabitkan emosi yang mendalam kerana ia kisah jatuh bangun saya sebagai penyanyi,” katanya.

SENTUHAN GHAZ

Video muzik single Meluruh turut mendapat sentuhan pengarah terkenal, Ghaz Abu Bakar.

Menurut Alyah, dia memilih untuk bekerjasama dengan Ghaz untuk pembikinan video muzik Meluruh kerana percayakan sentuhan pengarah hebat itu.

“Saya menimba pengalaman menarik sepanjang penggambaran video muzik ini. Penggambaran dilakukan di Terengganu kerana tertarik dengan keindahannya.

“Jalan cerita yang menerapkan elemen drama ialah idea Ghaz sendiri.

“Ia membabitkan unsur kebudayaan tradisional seperti mencanting batik yang ditampilkan sesuai dengan jalan cerita Melayu klasik,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran pula kata Alyah, penggambaran dilakukan ketika cuaca panas di negeri itu.

“Bukan sahaja cuaca panas, tetapi saya juga bertudung dan memakai busana labuh ketika penggambaran video muzik itu.

“Namun, ia bukan halangan untuk beri karya yang terbaik dan saya juga puas hati dengan hasilnya,” katanya.

Single Meluruh terbitan Warner Music boleh didapati di semua pelantar digital bermula 19 April lalu dan video muzik rasmi boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 5:00 AM