MOHAMAD (kiri) menunjukkan gambar suspek yang ditangkap pada sidang media, semalam. FOTO Bernama
MOHAMAD (kiri) menunjukkan gambar suspek yang ditangkap pada sidang media, semalam. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS menumpaskan sindiket Love Scam selepas menahan 15 warga Afrika termasuk dua wanita yang dipercayai membabitkan kerugian lebih RM1.55 juta sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, tangkapan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri pada 2 hingga 7 Julai lalu.

Beliau berkata, semua suspek berusia 25 hingga 43 tahun itu ditahan di tiga rumah sewa di Port Dickson, Mambau dan Puchong, Selangor.

Katanya, penahanan itu susulan laporan dibuat seorang lelaki berusia 38 tahun yang mendakwa ditipu lelaki yang dikenali melalui Facebook menyebabkan kerugian RM27,260.

“Mangsa berkenalan dengan individu bernama Oliver Cheng Li warga Singapura dan bekerja sebagai juruterbang di Vietnam Airline. Suspek tawarkan pekerjaan kepada mangsa dan perlu hadiri temu duga.

“Pada 18 Januari lalu, mangsa memasukkan wang dalam tiga akaun bank berbeza. Mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas gagal menemui suspek di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya di sini, semalam.

Mohamad berkata, hasil siasatan ke atas akaun bank diberikan, polis menahan seorang wanita tempatan berusia 54 tahun yang dijadikan keldai akaun sindiket itu.

Katanya, siasatan mendapati wanita itu kekasih seorang daripada anggota sindiket Love Scam.

“Bertindak atas soal siasat ke atas wanita itu, kami menahan 15 warga Afrika terbabit. Pemeriksaan mendapati empat suspek mempunyai pasport manakala sembilan suspek memiliki pas lawatan sosial dan dua penuntut kolej swasta.

“Setakat ini, sebanyak 33 kes yang dilaporkan sejak 2017 hingga Mei lalu dikenal pasti membabitkan sindiket itu. Ia berdasarkan semakan di telefon bimbit dan komputer riba yang dirampas polis.

“Jumlah kerugian dikesan lebih RM1.55 juta membabitkan 14 akaun bank digunakan sindiket berkenaan. Semua suspek kini direman 14 hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohamad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket itu turut terbabit banyak lagi kes penipuan lain dan siasatan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 7:01 AM