Ahmad Nabil bersama foto dihasilkannya yang memenangi pertandingan antarabangsa Hasselblad Masters 2018 menerusi kategori 'project 21'.
Ahmad Nabil bersama foto dihasilkannya yang memenangi pertandingan antarabangsa Hasselblad Masters 2018 menerusi kategori 'project 21'.
Nabihah Kamal

 

Baru berusia 18 tahun, namun pencapaiannya membanggakan apabila menjadi antara 11 yang terbaik dalam pertandingan foto peringkat antarabangsa, Hasselblad Masters 2018 menerusi kategori 'project 21' iaitu bawah 21 tahun, 9 Januari lalu.

Menerusi foto yang bertemakan 'Trapped Soul', anak jati Kota Bharu, Kelantan, Ahmad Nabil Imran Rosman menerima hadiah trofi, dilantik sebagai duta pengeluar kamera Hasselblad selama dua tahun dan kamera Hasselblad hasil kemenangan dalam pertandingan itu. 

 

Menurutnya, dia mula berjinak-jinak dalam bidang fotografi sejak enam tahun lalu.

“Saya belajar teknik fotografi melalui pengalaman kerana sejak berusia 14 tahun lagi saya sudah menggemari kamera.

“Kamera digital pertama yang ayah saya hadiahkan, saya jual dan hasilnya saya beli kamera lain untuk asah bakat, antaranya Sony A57 yang saya gunakan kini hingga membuahkan hasil dalam pertandingan itu," katanya yang kini melanjutkan pengajian dalam Asasi Perundangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil.

 

Menurutnya, pada pertengahan tahun lalu, dia mencuba nasib menghantar penyertaan dalam pertandingan itu bagi mencabar diri.

Projek itu saya hasilkan suka-suka apabila saya ternampak ada rumah kosong di Kota Bharu dan tertanya-tanya adakah ia dihuni oleh penagih dadah.

 

“Dari situ idea bermula dengan menghasilkan karya bermotifkan 'Trapped Soul'. Saya gunakan rakan sebagai model dan untuk siapkan projek itu ia mengambil masa tiga hari termasuk proses suntingan," kata anak bongsu daripada enam adik-beradik itu.

 

 Kata Ahmad Nabil, dia tidak menyangka akan memenangi pertandingan peringkat antarabangsa itu.

 "Tak sangka pada usia 18 tahun saya berjaya mencapai sesuatu melalui hobi. Dulu, ibu bapa tidak menggalakkan saya untuk serius dalam bidang ini.

 

“Alhamdulillah saya berjaya membuktikan sesuatu kepada mereka," katanya.

 

Menurut Ahmad Nabil, dia akan bekerjasama dengan syarikat itu untuk menghasilkan projek dan buku berkaitan fotografi.

 

“Projek itu akan bermula pada Mei nanti dan saya akan ke Cologne,Jerman pada September untuk pelancaran buku menerusi acara Photo Kina," katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 10:00 PM