SEMUA pelawak yang layak ke pentas akhir BBB 2019 Ahad ini. FOTO: Intan Nur Elliana Zakaria
SEMUA pelawak yang layak ke pentas akhir BBB 2019 Ahad ini. FOTO: Intan Nur Elliana Zakaria
Ramlah Zainal

SELEPAS tujuh minggu bersaing, lima pelawak popular program Bintang Mencari Bintang (BBB 2019) berjaya mara ke pentas akhir yang akan berlangsung Ahad ini.

Selain Achey, empat lagi pelawak terbabit ialah Mohd Azwan Sabri (Chiwan), Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad, 34 (Mamak Puteh), Sharif Kadir Doli Sharif, 29 (Sharif Zero) dan Mohammad Shukri Mohammed Sahar, 33 (Shuk).

Keputusan itu diumumkan pengacara Elly Mazlein pada peringkat separuh akhir BBB 2019 yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam semalam.

Pada malam itu, Achey muncul sebagai juara mingguan dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000. Itu adalah kemenangan kali ketiga Achey sepanjang program berlangsung.

Menurut pemilik nama sebenar Mohd Nasir Hamzah, 33, itu, dia tidak menyangka kolaborasi bersama pelawak jemputan Tauke berjaya memenangi hati juri dan penonton pada malam terbabit.

“Sebenarnya, pemilihan Tauke sebagai artis jemputan adalah pada saat akhir selepas artis yang sepatutnya muncul tidak dapat memberikan komitmen.

ACHEY berkolaborasi bersama Tauke muncul juara mingguan buat kali ketiga.
ACHEY berkolaborasi bersama Tauke muncul juara mingguan buat kali ketiga.

“Kami pilih sketsa dan lagu Kamelia dendangan Ramli Sarip kerana masing-masing boleh menyampaikan lagu itu.

“Saya juga puas hati dengan gandingan ini kerana dia pelawak berpengalaman dan banyak memberi pengisian ketika persembahan,” katanya.

Ditanya soal saingan pula, Achey mengakui semua pelawak yang bertanding punya kehebatan tersendiri.

“Dua pelawak yang beri saingan paling sengit pada peringkat separuh akhir ini ialah Shuk dan Sharif Zero. Dari sudut moral, Shuk buat sketsa yang menampilkan isu yang dekat dengan masyarakat.

“Manakala, Sharif pula persembahannya penuh dengan elemen komedi,” katanya. Persembahan sketsa Achey dan Tauke dengan menyampaikan lagu Kamelia juga mendapat pujian juri tetap Saiful Apek serta Mark Adam.

Mengulas persediaan ke peringkat akhir BBB 2019 pula, Achey berkata, dia akan menampilkan penyanyi popular Black sebagai artis jemputan nanti.

“Saya berkawan baik dengan Black. Dia bukan sahaja penyanyi yang bagus tetapi sangat kelakar orangnya. Kami sudah bincang konsep persembahan tiga minggu lalu dan Black setuju dengan sketsa yang bakal dipersembahkan nanti,” katanya.

Mengenai harapan untuk menang pula, Achey berkata, dia dan Black akan berusaha memberikan pesembahan terbaik di pentas akhir BBB 2019 nanti.

“Apa yang penting, usaha dan kerja keras untuk pertandingan akhir nanti dan selepas itu kami tawakal. Insya-Allah, ada keajaiban yang akan berlaku nanti,” katanya.

JURI BBB, Saiful Apek dan Mark Adam.
JURI BBB, Saiful Apek dan Mark Adam.

Tiada penyingkiran

Selain persembahan Achey dan artis jemputannya Tauke, empat lagi pelawak popular yang turut memberi saingan sengit pada minggu separuh akhir BBB 2019 adalah Shuk yang menampilkan pelawak Issey, Chiwan bergandingan dengan penyanyi Sissy Iman, Sharif Zero bersama Ali Putih dan Mamak Puteh pula menampilkan penyanyi Shiha Zikir.

Selaku juri Saiful Apek mengharapkan semua peserta mengetengahkan idea menarik di pentas kemuncak nanti.

“Secara keseluruhannya ada persembahan pelawak yang berjaya menyentuh hati saya dan ada juga yang boleh diperbaiki.

“Contohnya persembahan Shuk bersama Issey, ada pengisian dan menghiburkan kami.

“Chiwan pula selalu berani tampilkan kelainan dan kemunculan Sissy menyerikan persembahannya,” katanya.

Kata Apek lagi, sepatutnya ada penyingkiran pada peringkat separuh akhir tetapi dia dan Mark sepakat untuk memberi peluang kepada pelawak yang lemah untuk bertanding di pentas akhir.

“Selaku juri kami melihat persembahan Mamak Puteh ada kelemahan yang perlu diperbaiki berbanding empat lagi pelawak lain yang bertanding pada pentas separuh akhir.

“Mujur penampilan Shiha sebagai artis jemputan sedikit sebanyak membantu dalam persembahannya,” kata Apek.

Sistem pemarkahan BBB 2019 dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 60 peratus daripada panel juri dan 40 peratus lagi undian dalam talian.

BBB 2019 yang menampilkan 5 pelawak popular tanah air menghiburkan penonton setiap malam Ahad jam 9 malam dari studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam selama 8 minggu bermula 3 Mac 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 6:00 AM