ANGGOTA KPDNHEP seawal pagi memeriksa harga jualan barang mentah di Pasar Borong Selayang. -Foto NSTP
ANGGOTA KPDNHEP seawal pagi memeriksa harga jualan barang mentah di Pasar Borong Selayang. -Foto NSTP
Hasbi Sidek


KUALA LUMPUR: Kehadiran anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang ‘terpacak’ seawal jam 4 pagi di Pasar Harian Selayang, di sini, semalam, mengejutkan sebilangan besar peniaga di pasar basah itu.

Ada yang kelam-kabut mahu menukar tanda harga kepada kadar baru, malah terdapat juga peniaga yang baru hendak membuat tanda harga pada barang jualan masing-masing sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Tinjauan di pasar itu mendapati kebanyakan peniaga gagal mempamerkan tanda harga selain terdapat tanda harga yang baru dibuat menggunakan kertas.

Seorang peniaga ikan yang membuat tanda harga ketika disoal siasat mendakwa, perniagaannya baru beroperasi dan tidak sempat meletakkan tanda harga itu.

Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya peniaga berkenaan tidak meletakkan tanda harga ikan pada hari sebelumnya.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur Low Swee Hon berkata, operasi bermula di Pasar Borong Selayang jam 2 pagi itu dibantu petugas KPDNHEP Selangor dan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Pemeriksaan bermula di Pasar Borong jam 2 pagi, seterusnya ke Pasar Harian pada jam 4 pagi. Hasil pemeriksaan 440 gerai di lokasi pertama, kami mengeluarkan kompaun ke atas 15 peniaga dengan nilai kompaun berjumlah RM4,200 yang dikutip terus daripada peniaga kerana kesalahan alat penimbang di bawah Seksyen 14(16) Akta Timbang dan Sukat 1972.

“Dua lagi kes atas kesalahan mengikut Perintah 5 kerana melanggar Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga, penandaan harga oleh penjual runcit 1993 dengan nilai kompaun RM600,” katanya selepas operasi, pagi semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan di Pasar Harian pula, pihaknya memeriksa 750 premis dan mengesan lapan kes bagi kesalahan mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang Sukat 1972 dengan nilai kompaun RM1,800.

“Manakala, 10 kes dihasilkan bagi kesalahan mengikut Perintah 5 kerana melanggar Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga, penandaan harga penjual runcit 1993 dengan nilai kompaun RM2,050,” katanya.

Katanya, KPDNHEP mendapati ramai peniaga memandang remeh berhubung alat penimbang dan tanda harga, sekali gus menidakkan hak pengguna.

“Ketika kami membuat pemeriksaan, ramai peniaga baru meletakkan tanda harga dan memperbetulkan kadar harga terbaru dengan alasan kedai baru dibuka.

“Ada yang kami sempat periksa dan kompaun dikeluarkan. Mereka tidak menyangka kami membuat pemeriksaan di pasar itu pada awal pagi begini. Mereka sepatutnya meletakkan tanda harga terbaru sebaik perniagaan dibuka kerana pelanggan sudah datang untuk membeli seawal jam 4 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 7:30 AM