DARI kiri Rami, Olivia, Regina dan Mahershala  bersama trofi masing-masing.
DARI kiri Rami, Olivia, Regina dan Mahershala bersama trofi masing-masing.
Syafil Syazwan Jefri


MENEPATI ramalan, Rami Malek kini berjaya memasuki senarai ‘kerabat’ Hollywood selepas namanya diumumkan pemenang kategori Pelakon Lelaki Terbaik di Academy Awards ke-91 atau Oscars 2019 yang berlangsung di Dolby Theater, Los Angeles, Amerika Syarikat, semalam.

Rami yang memenangi anugerah berprestij itu menerusi wataknya sebagai penyanyi legenda Queen, Freddie Mercury dalam filem Bohemian Rhapsody menewaskan beberapa nama besar lain seperti Christian Bale, Bradley Cooper, Willem Dafoe dan Viggo Mortensen.

Daripada pengamatan terhadap lakonan semua bintang yang tercalon dalam kategori ini, nyata semuanya punya kekuatan masing-masing.

Saingan terdekat tentunya Christian Bale yang memegang peranan sebagai Dick Cheney dalam filem Vice.

Ketika berada di pentas, Rami terus menjerit dan meluahkan rasa sayangnya kepada ibu yang turut hadir.

“I love you, lady!” jerit Rami kepada ibu yang duduk bersebelahan kembarnya, Sami Malek.

Dalam ucapannya, Rami turut berkongsi kisah mengenai ibu bapanya yang berhijrah dari Mesir ke Amerika Syarikat.

LADY Gaga bersama trofi Lagu Asal Terbaik.
LADY Gaga bersama trofi Lagu Asal Terbaik.

“Saya anak kepada pendatang dari Mesir. Saya generasi pertama Amerika dalam keluarga kami dan sebahagian kisah hidup saya tercatat hari ini,” katanya.

Dalam nada sebak, Rami mengakui ia adalah saat paling berharga dalam hidupnya.

“Saat ini adalah sesuatu yang saya akan sentiasa ingat dan paling berharga dalam kehidupan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Rami turut menitipkan ucapan kepada seorang lagi wanita yang sangat berharga dalam hidupnya iaitu Lucy Boynton yang juga gandingannya dalam Bohemian Rhapsody.

“Anda adalah ‘jantung’ dalam filem ini. Anda punya bakat yang besar dan berjaya mencuri hati saya,” katanya.

Selain Rami, pemenang kategori Pelakon Wanita Terbaik juga menepati jangkaan apabila dimenangi pelakon Britain, Olivia Colman walaupun saingan terdekatnya, Glenn Close juga disebut sebagai bakal pemenang.

ALFONSO Cuaron menang kategori Pengarah Terbaik menerusi filem Roma.
ALFONSO Cuaron menang kategori Pengarah Terbaik menerusi filem Roma.

Pelakon filem The Favourite itu saat memberi ucapan kemenangannya tidak lupa menyebut nama Glenn.

“Glenn Close, anda adalah idola saya sejak sekian lama dan anda adalah yang paling luar biasa. Sayang anda,” katanya.

Dalam pada menyelitkan kata-kata yang mencuit hati, ada juga beberapa ayat yang membuatkan penonton rasa sebak saat ucapannya.

“Kepada anak saya yang menonton di rumah, saya harap mereka dapat lihat kerana mungkin ini tidak akan berlaku lagi.

“Saya pernah bekerja sebagai tukang cuci dan sukakan kerja saya. Saya ada banyak masa untuk berangan-angan, berada di tempat saya sekarang,” katanya.

Olivia berjaya menewaskan beberapa calon lain dalam kategori sama selain Glenn iaitu Lady Gaga, Melissa McCarthy dan Yalitza Aparicio.

PEMAIN gitar Queen, Brian May (kiri) bersama Adam Lambert.
PEMAIN gitar Queen, Brian May (kiri) bersama Adam Lambert.

Selain Rami dan Olivia, Oscars 2019 turut menyaksikan kemenangan dua pelakon kulit hitam, Regina King dan Mahershala Ali yang masing-masing berjaya memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Kategori Pengarah

Terbaik pula dimenangi Alfonso Cuaron menerusi filem Roma. Beliau mengalahkan empat calon lain iaitu Spike Lee (Blackkklansman), Pawel Pawlikowski (Copd War), Yorgos Lanthimos (The Favourite) dan Adam McKay (Vice).

Anugerah utama iaitu Filem Terbaik menjadi milik Green Book mengalahkan filem Blackkklansman, Bohemian Rhapsody, The Favourite, Roma dan A Star Is Born.

Green Book arahan Peter Farrelly menampilkan lakonan Viggo Mortensen, Mahershala Ali dan Linda Cardellini.

Banyak yang menarik di Oscars 2019

Oscars 2019 buat pertama kalinya tidak menampilkan pengacara selepas Kevin Hart dikecam apabila mengeluarkan kata-kata yang bersifat ‘homophobic’.

Walaupun nama Kevin diumumkan sebagai pengacara pada Disember lalu, pelakon dan pengacara itu sendiri membuat keputusan menarik diri beberapa jam kemudian.

Acara pembukaan yang selalunya dimulakan dengan monolog mengenai isu semasa, politik serta calon digantikan dengan persembahan oleh Adam Lambert dan band rock legenda, Queen.

Kerjasama itu mempersembahkan dua lagu popular Queen iaitu We Will Rock You dan We Are The Champions dengan sangat bertenaga.

Seterusnya, penonton disajikan dengan montaj daripada beberapa filem yang ditayangkan pada 2018 termasuk The Favourite, Deadpool 2, Black Panther, Roma dan Vice.

Acara pembukaan diteruskan dengan kemunculan tiga pelawak iaitu Tina Fey, Amy Poehler dan Maya Rudolph.

Antara kata-kata yang mencuit hati adalah apabila mereka beberapa kali menegaskan mereka bukanlah pengacara acara anugerah berprestij itu.

Sementara itu, satu jam sebelum acara anugerah bermula, berlangsungnya acara karpet merah yang menyaksikan puluhan selebriti Gred A Hollywood melangkah dengan busana indah.

Paling menarik perhatian adalah kemunculan pelakon dan penyanyi, Billy Porter yang menggayakan gaun tuksedo rekaan Christian Siriano.

Penampilan ‘berani’ itu nyata mencuri tumpuan kerana menampilkan kelainan apabila gaun dan tuksedo digabungkan dalam satu busana dan dipakai oleh lelaki.

Selain itu, anak Malaysia yang juga bintang filem Crazy Rich Asian, Henry Golding juga turut dilihat melintasi ruangan karpet merah dan mendapat sorotan lensa kamera.

Hadir dengan tuksedo hitam yang digayakan dengan pakaian putih lengkap dengan ‘bow tie’ putih membuatkan Henry tampak kacak bergaya.

Apa yang pasti, Academy Awards kali ini tentunya meninggalkan kesan di hati peminat, pelakon dan pembikin filem dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 6:31 AM