Najiy Jefri


SIAPA sangka wanita yang sudah lebih 17 tahun bergelumang dalam industri muzik ini sekali lagi terpaksa berdepan fitnah besar dalam hidup hingga memaksanya mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa.

Ketika Misha Omar, 37, teruja meraikan kejayaannya memenangi kategori Vokal Terbaik dan lagunya, Sampai Bila menang tempat ketiga di Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) baru-baru ini, bertebaran fitnah di laman sosial mengaitkan kemenangan itu dengan ilmu sihir.

Enggan berdiam diri selain meminta nasihat guaman, Misha membuat dua laporan polis, minggu lalu selain memberi tempoh tujuh hari kepada pelakunya untuk tampil bersemuka dengannya bagi membuat permohonan maaf.

“Pada 2014 ketika mahu melangsungkan perkahwinan, saya dituduh berstatus janda. Sekarang dikaitkan dengan ilmu sihir pula.

“Patutlah selepas menang tempoh hari, ada komen mengaitkan saya dengan jin apabila mengadakan latihan akhir bersama Datuk Syafinaz Selamat di ruang berhampiran tandas di Axiata Arena, tempoh hari.

“Kru produksi dan sesiapa yang sudah biasa di situ tahu keadaan belakang pentas dan maklum kenapa kami berlatih di situ. Jadi saya rasa bertanggungjawab untuk diri sendiri kerana saya tak nak kerjaya yang dibina selama 17 tahun ini dibiarkan begitu saja oleh kata-kata yang tidak benar.

Fitnah yang mengaitkan saya mengamalkan ilmu sihir atau khurafat memang tidak boleh diterima. Ia secara tidak sedar menjejaskan reputasi saya,” katanya.

Tidak perlu menunggu lama, dalam tempoh tujuh hari yang ditetapkan, Misha dihubungi dua pemilik laman sosial itu yang mahu membuat permohonan maaf secara terbuka.

Berlangsung dalam suasana yang cukup harmoni dan tenang di sebuah restoran di Bangsar, Kuala Lumpur, Khamis lalu, dua individu terbabit iaitu Fairuz Azwan Akhir Sepian, 32, dan Ahmad Azhar Aziz, 27, tampil membuat permohonan maaf.

Selain Misha, majlis terbabit turut disertai peguam Misha, firma Amelda Fuad Abi & Aidil, Abi Mursyidin Awal dan Ahmad Fuad Hasim.

“Saya tidak berdendam dengan mereka. Saya lega dan bersyukur apabila dua anak muda ini tampil membuat permohonan maaf.

“Bagaimanapun, ada seorang lagi belum menyatakan permohonan maaf sedangkan fitnah itu dicetuskannya di Twitter. Namun, dia sudah memadamkan akaun berkenaan,” katanya.

Misha berkata, mungkin dia akan membuat laporan polis berasingan supaya individu itu belajar dan bertanggungjawab dengan kesilapan yang dilakukan.

Jaga maruah

Walaupun episod hitam yang berlaku akan terpahat dan menjadi sejarah dalam hidupnya, Misha sudah memaafkan kedua-dua individu itu dan berasa lega apabila semuanya sudah selesai.

Misha berkata, keputusan yang dibuat ini adalah untuk menjaga nama baik keluarga serta periuk nasinya sebagai penyanyi.

“Saya kini boleh meneruskan kehidupan dengan tenang. Saya harap perkara ini dijadikan teladan dan panduan kepada semua orang.

“Saya sudah berkeluarga. Ada suami, anak, saudara-mara dan rakan-rakan. Jadi, apabila mereka mendengar cerita kurang enak ini, saya tidak mahu nama mereka terbabit sama. Sebenarnya apa yang saya lakukan ini adalah lebih untuk menjaga rumah tangga dan nama baik anak,” katanya.

Misha tidak mahu hatinya sakit dan tidak tenang kerana tahun ini dia ada beberapa perancangan dalam kerjayanya.

“Saya harus beri peringatan kepada peminat supaya berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan. Setiap apa yang kita buat perlu beradab,” katanya.

Tak salahkan Siti Sarah

Ditanya mengenai hubungannya dengan penyanyi Siti Sarah memandangkan seorang daripada individu itu adalah anggota kelab peminat Sarah, Misha berkata, mereka berdua langsung tiada apa-apa masalah.

“Bukan dia (Sarah) yang buat masalah. Kami tetap berkawan dan bakal menjayakan Konsert Soul Sisters pada awal April depan.

“Saya harap hubungan baik kami akan terus kekal. Mungkin isu ini akan jadi benda yang kami ketawa dan bualkan bersama,” katanya.

Ditanya adakah kekecohan di antara dia dengan Sarah itu adalah publisiti untuk konsert terbabit yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 5 dan 6 April ini, Misha berkata, ia terpulang kepada penerimaan setiap individu.

“Jika mereka melihat apa yang berlaku ini dari sudut yang positif, saya rasa baguslah kerana mereka pasti tidak sabar untuk melihat bagaimana saya dan Sarah bersama nanti.

“Namun, ingin saya tegaskan antara kami memang tiada apa-apa masalah. Hubungan kami baik dan saya tak sabar untuk membuat persembahan bersama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Misha berkata, dia dalam persiapan untuk mencari bahan bagi single terbarunya tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 6:01 AM