HOPE sebelum membuka kotak dibida yang mengandungi barangan pelbagai jenama. FOTO Agensi
HOPE sebelum membuka kotak dibida yang mengandungi barangan pelbagai jenama. FOTO Agensi
Agensi

London: Seorang wanita mendedahkan dia memperoleh pelbagai barangan berjenama dengan harga yang murah selepas membeli barangan yang tidak dituntut atau dihantar kepada penerima.

Pempengaruh (influencer) YouTube, HopeScope berkata, keadaan itu menyebabkan almari mempunyai timbunan pakaian dan kasut.

Wanita itu berjaya membeli kotak yang berisi pelbagai barangan berjenama termasuk Gucci, Louis Vuitton, Hermes dan Yeezy.

"Ini yang berlaku apabila barangan mewah dikirimkan, namun ia tidak dituntut atau tidak dapat dihantar kepada penerima.

"Barangan ini akan dilelong kepada orang ramai dengan harga yang sangat murah.

"Saya membeli satu kotak besar dan berjaya mendapat pelbagai barang mewah," katanya menerusi YouTube.

Hope berkata, dia hanya membayar 5,116 pound sterling (kira-kira RM28,996), namun berjaya memperoleh barangan mewah bernilai 40,204 pound sterling (kira-kira RM227,463).

Dia begitu teruja untuk membuka 'kotak misteri' yang berjaya dibida untuk mengetahui barang di dalam kotak itu.

"Saya begitu teruja sama ada ia adalah satu pembaziran atau berbaloi menghabiskan wang untuk membelinya," katanya.

Beliau berkata, dia berjaya mendapat selipar Gucci yang bernilai 277 pound sterling (kira-kira RM1,568) yang kebetulan sama saiz kakinya.

Satu daripada barangan mewah dalam kotak itu adalah beg Louis Vuitton yang dianggarkan bernilai 4,827 pound sterling (kira-kira RM27,331).

"Tidak hairan mengapa ramai orang berebut untuk mendapatkan kotak ini," katanya.

Hope berkata, hanya dua barangan awal yang diperoleh dalam kotak itu sudah memadai untuk dia mendapat semula modalnya.

Dalam kotak yang dibelinya juga mempunyai beg duit, tali pinggang Louis Vuitton dan kasut Yezzy selain pelbagai barangan jenama terkenal.

Hope juga turut mendapat selipar jenama Louis Vuitton, namun tidak pasti sama ada ia asli atau sebaliknya kerana bau plastik lebih ketara berbanding kulit.

"Jika semua barang di dalam kotak ini asli, nilainya adalah 40,359 pound sterling (kira-kira RM228,503)," katanya.

Video berkenaan menarik minat ramai penonton yang turut berminat untuk melakukan perkara sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 7:00 AM