RITA dan anaknya Airit Qaqa Arjuna, 7, bersama Pekan yang ditemui semula, hari ini. FOTO Ihsan Rita Rudaini
RITA dan anaknya Airit Qaqa Arjuna, 7, bersama Pekan yang ditemui semula, hari ini. FOTO Ihsan Rita Rudaini
Najiy Jefri


SELEPAS lima hari akhirnya kucing kesayangan pelakon Rita Rudaini ditemui semula di sebuah rumah di kawasan perumahan di Semenyih, Selangor jam 2.50 pagi hari ini.

Bagaimanapun, kucing bernama Pekan itu ditemui dalam keadaan kurus, letih dan murung.

Difahamkan, seorang individu menghubungi polis memaklumkan Pekan ditemui di kawasan kediaman itu.

Rita ketika dihubungi berkata, dia bersyukur dan gembira apabila kucing kesayangannya itu ditemui semula dan berterima kasih kepada Sarjan Rahmat dan semua anggota di Balai Polis Semenyih kerana membantu menyelamatkan Pekan.

“Pekan dalam keadaan letih, murung dan kurus. Saya baru saja menghantar Pekan ke klinik veterinar kerana ia seperti trauma. Diharapkan keadaannya akan kembali baik,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

RITA bergambar di hadapan Balai Polis Semenyih, hari ini. FOTO Ihsan Rita Rudaini
RITA bergambar di hadapan Balai Polis Semenyih, hari ini. FOTO Ihsan Rita Rudaini

Menurut Rita, walaupun sudah dijumpai, tetapi banyak perkara meragukan berlaku dan dia mahu membawa kes terbabit ke peringkat seterusnya.

“Saya mahu pihak polis terus menyiasat kes ini dan ambil tindakan sewajarnya. Banyak maklumat saya peroleh daripada seorang kenalan yang sudi menghulurkan pertolongan membantu mencari Pekan,” katanya.

Dalam pada itu, Rita turut berterima kasih kepada seorang individu yang banyak membantunya dalam memberi maklumat mengenai kucing berkenaan.

“Allah hantar seorang yang mulia hatinya. Dia banyak membantu dalam memberi maklumat mengenai Pekan. Semoga Allah membalas jasa baik dia dan keluarganya.

“Ada hikmah saya muat naik perkara ini di Instagram untuk ditularkan dan tiba-tiba Pekan muncul. Ia seperti misteri, suratan dan kebetulan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kucing kesayangannya hilang daripada jagaan seorang kenalan yang meminjam kucing itu untuk tujuan pembiakan.

Berita berkaitan

Ramai tolong cari kucing Rita

'Senang je cakap nak ganti...'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 1:15 PM