PASANGAN suami isteri, Mohd Shafiriey dan  Nurra Shida melakukan misi ‘gila’  bersama rakan mereka Mohd Hazruhapizu  serta isterinya, Rafidah menjelajah Thailand sehingga sempadan Laos dan China  menggunakan motosikal Vespa berusia 45 tahun.
PASANGAN suami isteri, Mohd Shafiriey dan Nurra Shida melakukan misi ‘gila’ bersama rakan mereka Mohd Hazruhapizu serta isterinya, Rafidah menjelajah Thailand sehingga sempadan Laos dan China menggunakan motosikal Vespa berusia 45 tahun.
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Menjelajah Thailand hingga ke sempadan Laos-China yang dilakukan pasangan suami isteri, Mohd Shafiriey Husain, 29, dan Nurra Shidah Roslan, 22, yang tular di Facebook sejak kelmarin boleh dianggap luar biasa kerana mereka hanya membelanjakan RM3,000 dan menunggang Vespa berusia 45 tahun.

Mohd Shafiriey berkata, dia bersama isteri dan juga dua rakan, Mohd Hazruhapizu Husain, 34, serta isterinya, Rafidah Umar, 33, memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Koh Samui dan seterusnya ke Hua Hin, Bangkok, Saraburi, Khon Kaen, Nongkai, Vientiane, Vang Vieng, Kasi, Luang Prabang, Boten (sempadan Laos-China), Chiang Rai, Chiang Mai, Bangkok, Hatyai dan kembali semula ke ibu kota.


“Kami menunggang Vespa Sprint 150 keluaran 1973 manakala rakan pula menggunakan Vespa Px200 yang ramai orang cakap hanya sesuai ke pasar dan surau saja, besi buruk katakan.

“Tujuan pengembaraan kami ini supaya dapat membuka mata masyarakat bukan motosikal berkuasa tinggi saja dapat menjelajah ke negara lain tetapi ‘besi buruk’ kami juga boleh,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Penolong Pegawai Perubatan di wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur itu berkata, tempoh pengembaraan mereka memakan masa tiga minggu dengan jarak perjalanan dianggarkan lebih 4,000 kilometer dan bajet RM3,000 untuk hotel, makan, petrol, tren dan dokumentasi.


“Setiap hujung tahun, kami mengembara menggunakan Vespa kerana meminati dunia permotoran.

“Saya juga bersyukur kerana mendapat isteri yang mempunyai minat sama dan tidak kisah membonceng motosikal ‘buruk’ sambil melihat dunia luar,” katanya.

Mohd Shafiriey berkata, antara cabaran ditempuhi ketika berada di Laos ialah kesukaran mendapatkan makanan halal, keadaan muka bumi bergunung, jalan berdebu, rosak, berlubang dan berlumpur.


“Malah kami jatuh tergolek di Gunung Kasi dan juga di Boten, Laos apabila sukar mengawal Vespa akibat jalan terlalu licin.

“Alhamdulillah, tiada sebarang masalah berlaku pada Vespa kami walaupun sudah lanjut usia dan membawa bebanan berat.

“Terima kasih kepada rakan yang mendoakan kami. Saya berharap catatan ini dapat menaikkan semangat rakan lain untuk mengembara menggunakan motosikal terutama bercita-cita membawa isteri honeymoon ride,” katanya.


Ditanya mengenai Vespa miliknya, Mohd Shafiriey berkata, dia membeli kenderaan itu daripada rakan dengan harga RM600 pada 2014.

“Saya membelanjakan hampir RM3,000 untuk membaik pulih motosikal itu untuk pengembaraan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 8:02 AM