BUSANA Muslimah sedondon ibu dan anak.
BUSANA Muslimah sedondon ibu dan anak.
Siti Nadirah Hafidzin

RAMAI wanita terutama yang berstatus ibu sangat menitikberatkan aspek pemilihan busana. Baju yang dipilih bukan saja cantik dan selesa malah perlu labuh supaya memudahkan pergerakan dan tampil sopan.

Rata-ratanya bersetuju busana yang terlalu pendek bukan saja menimbulkan rasa kurang selesa malah menjadikan penampilan kelihatan sedikit ‘janggal’ terutama apabila menghadiri program keagamaan.

Terkini, jenama fesyen tempatan ByAriana tampil dengan koleksi kurung peplum dan kurung moden khusus untuk Muslimah sehingga saiz 5XL.

Pengasasnya, Haslinda Ismail berkata, koleksi Alana Peplum, Rania Peplum dan Khayla Kurung dihasilkan dalam potongan labuh namun rekaannya terkini sesuai untuk wanita berkerjaya juga golongan ibu.

Menurutnya, lebih menarik apabila pihaknya menggunakan material yang senang dijaga dan tidak perlu digosok bagi membantu memudahkan urusan harian wanita yang sering sibuk sama ada di rumah atau di pejabat.

“Kami menampilkan rekaan busana dalam potongan longgar namun tetap nampak ‘terletak’ apabila digayakan.



“Berdasarkan pengalaman sendiri, saya sendiri tahu apa yang dimahukan wanita berkerjaya dan berstatus seorang ibu dalam berfesyen, disebabkan itu semua koleksi kami sangat dekat dengan golongan itu,” katanya.

Haslinda berkata, pihaknya turut menyediakan koleksi baju sedondon buat si ibu dan anak perempuan.

“Idea ini datang apabila saya lihat ramai golongan ibu suka bergaya sedondon dengan anak perempuan dan syukur, sambutan diterima sangat menggalakkan.

“Bagi aspek pemilihan rona busana, kami mengetengahkan warna gelap dan pastel seperti biru tentera laut, hijau zamrud, ungu belacan, merah jambu belacan, kelabu dan hitam,” katanya.


Katanya, pilihan saiz pula bermula daripada S hingga 5XL apabila pihaknya tidak mahu wanita bersaiz besar terkecuali untuk bergaya manis.

“Kami menyasarkan wanita pada usia 30-an hingga 40-an terutama kepada yang berkerjaya. Apa yang penting, setiap koleksi kami patuh syariah dan selesa digayakan dalam pelbagai acara.

“Kami mahukan setiap wanita yang menggayakan koleksi ini tersenyum puas dengan busana digayakan terutama berasa sangat selesa untuk bergerak aktif dalam rutin harian padat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 5:00 AM