Siraj Zaini


LELAKI yang maut dibelit ular sawa di Jalan Haji Ibrahim, Jenjarom, Banting, hari ini, dipercayai memegang reptilia berkenaan yang ditangkapnya sebelum itu, ketika menunggang motosikal untuk ke rumah rakannya apabila ular berkenaan membelit lehernya.

Mohd Noor Radiman, 54, berkata mangsa iaitu adik iparnya, Zaim Khalis Kosnan, 35, mungkin memegang ular sawa itu dengan tangan kiri manakala tangan kanannya memegang pendikit minyak motosikal.

“Dua mungkin hendak ke rumah kawannya untuk mengambil guni namun ular berkenaan membelit lehernya sehingga dia terjatuh dari motosikal,” katanya.

Menurutnya, mereka yang dimaklumkan penduduk kampung mengenai kejadian berkenaan sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati Zaim Khalis sudah meninggal dunia.

“Rumah saya tidak jauh dari lokasi kejadian dan sejurus dimaklumkan bergegas ke sana namun adik ipar sudah meninggal dunia akibat dibelit ular sawa itu," katanya yang ditemui di rumahnya hari ini.

Mohd Noor Radiman, abang ipar mangsa. - Foto MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Mohd Noor Radiman, abang ipar mangsa. - Foto MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT

Arwah adalah anak bongsu daripada tiga beradik, berstatus duda serta mempunyai anak perempuan berusia sembilan tahun.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jenjarom kira-kira jam 4 petang tadi selepas selesai bedah siasat di Hospital Banting.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan mendapati penduduk menemui mangsa dibelit ular sawa sepanjang kira-kira tiga meter.

Beliau berkata, orang awam cuba membantu mangsa namun tidak berjaya dan mangsa meninggal dunia di lokasi.

Katanya, bedah siasat di Hospital Banting mendapati ada kesan jerut di leher dan badan mangsa akibat belitan ular sawa itu.

“Selain itu ada kesan seperti tercekik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 7:43 PM
Keadaan ular sawa yang membelit leher Zaim Khalis Kosnan, 35. - Foto Ihsan BOMBA
Keadaan ular sawa yang membelit leher Zaim Khalis Kosnan, 35. - Foto Ihsan BOMBA