HAEL Husaini. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
HAEL Husaini. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Sudirman Mohd Tahir

Tahun lalu Hael Husaini ‘mengganas’ menerusi lagu Jampi hingga dinobatkan juara Anugerah Juara Lagu ke 32 (AJL32).

Rentetan daripada kejayaan itu, Hael, 31, atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi menjadi buruan kebanyakan penyanyi baru dan lama bagi mendapatkan khidmatnya menghasilkan lagu baru.

Sentuhan magis Hael bersama rakannya, Ezra Kong memberi warna baru dalam industri muzik tanah air sekali gus meletakkan dia antara komposer muda yang bakal melakar sejarah baru.

Ingin berkongsi kejayaan diraih, Hael berkata, dia tidak memilih penyanyi untuk menghasilkan lagu.

Dia berpegang kepada konsep siapa datang dulu dia dapat.

“Setakat ini saya belum pernah menolak mana-mana penyanyi yang minta lagu. Cuma saya akan memaklumkan mereka mengenai jadual kerja. Maksudnya kena ‘que’lah.

“Dalam bidang penciptaan lagu, tidak ada istilah memilih penyanyi dan saya buat untuk semua. Jika terlalu memilih, saya tidak akan membantu rakan seangkatan lain. Lebih baik saya terima penyanyi terkenal dan gred A saja.

“Cara kerja saya mudah iaitu siapa datang dulu, saya buat. Lagipun, saya bukan seorang yang menghasilkan lagu dan simpan buat koleksi seterusnya bagi kepada mana-mana penyanyi. Saya buat lagu baru untuk mereka seperti diinginkan. Ia memudahkan saya untuk mengenal pasti kesesuaian lagu dengan penyanyi,” katanya.

Hael berkata, tahun ini dianggap cukup bermakna buatnya apabila dapat bekerjasama dengan dua penyanyi hebat iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah.

Bersama Dayang, Hael bukan saja selaku pencipta lagu Haram tetapi juga menjadi rakan duet. Manakala untuk Siti pula, Hael menghasilkan lagu Anta Permana yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Alhamdulillah, saya memang nak bekerjasama dengan penyanyi senior. Malah, menjadi sasaran saya juga yang tahun ini lebih mementingkan kualiti lagu. Kalau boleh, biar setiap lagu dekat di hati peminat.

“Saya sudah lama mengimpikan peluang untuk bekerjasama dengan Siti tetapi tidak pernah tercapai. Saya tidak menyangka pengurus Siti iaitu Kak Rozi menghantar mesej dan bertanya mengenai lagu.

“Saya menganggap ini peluang keemasan. Jadi, ketika menghasilkan lagu ini saya meletakkan diri sebagai peminat Siti yang sudah lama menantikan buah tangan terbaru daripadanya. Jadi, saya luahkan rasa kerinduan terhadap gemersik dan alunan Siti menerusi lagu ini,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu itu, Hael berkata, ia dihasilkan dalam tempoh sejam dengan membayangkan Siti sebagai ‘living legend’ yang tiada ganti.

“Selepas siap, saya terus hantar kepada Kak Rozi. Seminggu kemudian baru mendapat maklum balas. Saya teruja dan sangat gembira apabila dimaklumkan Siti menyukai lagu ini,” katanya.

Selain Siti dan Dayang, Hael juga teringin bekerjasama dengan Anuar Zain dan Faizal Tahir. Dalam kalangan penyanyi baru pula, Hael berharap dapat menghasilkan lagu untuk Khai Bahar, Ernie Zakri dan Syamel.

HAEL Husaini. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
HAEL Husaini. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

Rezeki selepas 10 tahun

Kejayaan diraih Hael hari ini tidak datang bergolek apabila selepas 10 tahun berada dalam industri muzik, baru nama dan kerjayanya berada di puncak.

“Saya panggil ini rezeki. Selepas 10 tahun berada dalam industri muzik, Allah berikan saya nikmat kejayaan ini.

“Sebelum ini orang tidak nampak sebab saya bekerja belakang tabir. Jadi, sekarang saya gunakan sebaik-baiknya kesempatan diberikan ini.

“Misi saya ingin membawa muzik Malaysia jauh ke depan. Saya percaya, tidak ada sesuatu yang mustahil dapat dilakukan dengan usaha berterusan,” katanya.

Menyentuh mengenai kejayaan single Hajat, Hael berbangga apabila lagu itu menduduki tempat pertama dalam carta ‘trending’ di YouTube selama dua minggu.

Bukan saja lagu, tarian Hajat menggunakan #hajatdance juga tular dan mendapat perhatian peminat di laman sosial.

“Lagu ini saya buat untuk kelainan dan kena pada diri sendiri. Begitu juga lagu sebelum ini iaitu Jampi dan Haram. Masing-masing ada kelebihan dan keunikan.

“Tarian Hajat itu saya tidak pernah rancang pun. Ia mula menjadi tular selepas saya memuat naik video tarian Sherry Al Hadad dan Dottie. Tidak menjangka pula ia menjadi ikutan hingga sekarang.

“Kalau nak tahu, tarian ini memang direka khas untuk lagu ini. Walaupun ia mendapat kecaman, bagi saya ia bagus untuk perkara lain. Apatah lagi ramai yang menjadikan lagu ini sebagai lagu tarian zumba. Lagipun, tarian ini tidak keterlaluan pun,” katanya.

Hael berkata, dia menerima lebih 20 video tarian Hajat setiap hari di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 9:26 AM