Jun Hoong dan Irfan cemerlang selaku Olahragawan dan Olahragawati Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2017. FOTO SUPIAN AHMAD/fail HM Digital
Jun Hoong dan Irfan cemerlang selaku Olahragawan dan Olahragawati Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2017. FOTO SUPIAN AHMAD/fail HM Digital
Syalikha Sazili


KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara, Muhammad Irfan Shamsuddin dan atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong masing-masing dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2017, hari ini.

Dr Gazali (dua, kiri) menyampaikan piala kepada atlet terjun kebangsaan, Jun Hoong (dua, kanan) disaksikan Naib Canselor UM, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim (kanan) dan Pengerusi Majlis Sukan UM, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan. FOTO SUPIAN AHMAD
Dr Gazali (dua, kiri) menyampaikan piala kepada atlet terjun kebangsaan, Jun Hoong (dua, kanan) disaksikan Naib Canselor UM, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim (kanan) dan Pengerusi Majlis Sukan UM, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan. FOTO SUPIAN AHMAD

Prestasi cemerlang kedua atlet serta sumbangan mereka kepada negara turut diiktiraf di peringkat institusi pendidikan tinggi.

Muhammad Irfan yang mewakili Universiti Malaya (UM) berkata anugerah itu menjadi pemangkin baginya untuk terus mengharumkan nama universiti ke peringkat antarabangsa.

“€œAnugerah ini memberi semangat kepada saya untuk terus cipta kejayaan.

“€œTerima kasih kepada semua pihak termasuk keluarga dan universiti,”€ katanya menerusi video rakaman yang disiarkan di Majlis Anugerah Sukan MASUM 2017, malam ini.

Atlet lempar cakera itu kini sedang menjalani latihan di Jerman sejak Mei lalu bagi mempersiapkan diri menjelang Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia pada bulan depan.

Sementara itu, kecemerlangan Jun Hoong di peringkat antarabangsa terutama di temasya Sukan Olimpik dan Kejohanan Piala Dunia, melayakkan beliau merangkul gelaran Olahragawati MASUM buat kali kedua.

Beliau yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) pada MASUM mengetepikan rakan sepasukanya ratu terjun negara, Pandelela Rinong.

Pemenang pingkat perak Olimpik Rio 2016, itu juga berkata kemenangan MASUM adalah perjuangan yang berbaloi baginya.

“€œTumpuan kini adalah bagi Sukan Asia 2018 yang akan diadakan bulan depan.

“€œSecara peribadi, saya melihat negara China dan Korea Utara akan memberi saingan hebat namun kita juga tidak boleh memandang rendah kepada negara lain,”€ katanya.

Pemenang olahragawan dan olahragawati membawa pulang wang tunai RM3,000, piala iringan, sijil, blazer berserta trofi.

Turut menerima anugerah tokoh sukan adalah mantan Pengerusi MASUM, Datuk Dr Abdullah Mohamad Said.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Gazali Abbas, berkata kementerian memberi sokongan penuh kepada program sukan yang membantu pembangunan sukan di Institut Pendidikan Tinggi yang dianjurkan majlis sukan.

“€œKementerian menganggap sukan sebagai satu medium terbaik untuk mengukuhkan perpaduan selain mendidik masyarakat dengan kecemerlangan serta patriotik kepada negara.

“€œPengiktirafan terhadap atlet universiti ini menjadi pembakar semangat untuk terus komited,”€ katanya.

MASUM mempertandingkan 13 kategori dengan penyertaan oleh 20 buah universiti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 11:33 PM