NICOL
NICOL
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Rentetan kejayaan muncul juara dunia buat kali ke-10 membolehkan jaguh bina badan negara Sazali Samad dinobat Olahragawan Kebangsaan buat kali keempat manakala Datuk Nicol Ann David terus gah menambah koleksi gelaran Olahragawati Kebangsaan, semalam.

Kejayaan yang tidak dapat dinafikan itu membolehkan membolehkan kedua-dua pemenang itu membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai bernilai RM20,000 pada majlis Anugerah Sukan Negara 2014 di Hotel Grand Dorsett Subang.

Sazali yang memegang rekod Mr Universe kali ke-10 pada Kejohanan Bina Badan Dunia di Mumbai, India, tahun lalu mengenepikan lima pencabar lain terdiri daripada jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan atlet berbasikal negara Azizulhasni Awang.

Tiga atlet lain atlet karate, Lim Chee Wei, Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran) dan Ooi Tze Liang (terjun).

Bagi atlet berusia 48 tahun itu, pemilihan disifatkan cukup bermakna buat dirinya dan pastinya usaha mengharumkan nama negara tidak akan terhenti setakat ini.

Malah dia yang juga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mewakili unit beruniform pada Kejohanan Bina Badan Polis dan Bomba Dunia di Amerika Syarikat Jun ini bagi mempertahankan gelaran itu buat kali keenam.

“Bersyukur kepada Allah atas kejayaan ini. Terima kasih kepada semua terutama panel juri yang menilai untuk membolehkan saya merangkul anugerah Olahragawan buat kali keempat dan kedua berturut-turut.

“Terima kasih juga kepada majikan saya PDRM, MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara).

“Bukan mudah memenangi anugerah ini kerana saya bersaing dengan calon lain yang hebat dan bagi saya tercalon sudah cukup bagus,” katanya.

Sementara itu seperti diduga kejayaan Nicol adalah buat kali kesembilan.

Dia melakar kejayaan terbesar dalam kariernya apabila mencipta rekod baru sebagai pemain nombor satu dunia selama 107 bulan dalam senarai Persatuan Skuasy Wanita Antarabangsa(WSA).

Nicol memenangi anugerah itu pada 1999, 2003, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009, 2010 dan 2013 menewaskan pesaing terdiri daripada atlet karate, Syakilla Salni Jefri dan enam atlet lain terdiri daripada Tan Li Lian (bina badan), Siti Zalina Ahmad (bowling padang), Nur Suryani Mohamed Taibi (menembak), Siti Rahmah Mohamed Nasir (silat), Cheong Jun Hoong (terjun) dan Sin Li Jane (tenpin bowling).

Kali pertama Sazali dianugerah gelaran itu pada tahun 2000 manakala Nicol mula meraih gelaran itu pada 1999.

Selain anugerah Olahragawan dan Olahragawati, sembilan lagi anugerah dipertandingkan termasuk Pasukan Kebangsaan Lelaki dan Wanita, Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik, Jurulatih Lelaki dan Wanita kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 8:59 AM