Kumpulan 13 pendaki Malaysia yang berjaya turun dari Gunung Rinjani semasa gegaran gempa bumi. (Gambar kecil) Khairul Azim. FOTO Ihsan pendaki Langkawi Island Hikers, Majlis Bandaraya Alor Star dan Group Kampar
Kumpulan 13 pendaki Malaysia yang berjaya turun dari Gunung Rinjani semasa gegaran gempa bumi. (Gambar kecil) Khairul Azim. FOTO Ihsan pendaki Langkawi Island Hikers, Majlis Bandaraya Alor Star dan Group Kampar
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


“BUNYI kuat yang menakutkan berserta gegaran ketika bersarapan pagi membuatkan kumpulan pendaki panik dan tergamam,” kata Khairul Azim, 32.

Khairul antara 13 pendaki Malaysia di Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia yang merasai gegaran gempa bumi bermagnitud 6.4 pada 7 pagi tadi.

Menurutnya, dia mengetuai kumpulan pendaki Langkawi Island Hikers, Majlis Bandaraya Alor Star dan Group Kampar ketika itu berada di Base Camp Savana.

“Kejadian berlaku kira-kira lima minit, gegaran kuat disertai bunyi yang menakutkan ketika sarapan pagi itu menyebabkan kami semua panik.

“Namun kami bernasib baik kerana sudah tiba di Base Camp Savana dan dalam perjalanan turun dari gunung berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khairul berkata, kumpulan pendaki berkenaan tiba di Base Camp pada tengah malam tadi selepas menawan puncak Gunung Rinjani.

“Kami bernasib baik kerana sudah turun dari gunung berkenaan, jika dilihat dari Base Camp ini debu amat banyak di puncak berkenaan.

“Kami kini sudah tiba di Base Camp Sembalun dan banyak rumah yang rosak teruk akibat gempa bumi yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, kumpulannya akan bergerak pulang ke Malaysia pada hari esok.

“Ini adalah pendakian pertama kami di Gunung Rinjani dan juga pengalaman pertama.

“Alhamdulillah kami semua selamat dan dijangka pulang ke Malaysia esok,” katanya.

Gempa bumi bermagnitud 6.4 berlaku di Pulau Lombok, 6.47 pagi tadi.

Mengikut laporan Balai Taman Nasional Gunung Rinjani (BTNGR), seramai 788 pendaki didaftarkan menaiki gunung berkenaan sejak Jumaat lalu.

Berita berkaitan

Lombok bergegar !

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 10:43 AM