Suraya Roslan dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEORANG rakyat Malaysia meninggal dunia, manakala enam lagi parah akibat gempa bumi bermagnitud 6.4 melanda Pulau Lombok di Indonesia, hari ini.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Siti Nur Ismawida, 30, berasal dari Melaka.

Rakan mangsa, Haziq berkata, Siti Nur Ismawida adalah peserta kumpulan pendaki terdiri daripada 18 rakyat Malaysia yang mendaki Gunung Rinjani.

“Mangsa parah selepas rumah yang diduduki runtuh dan menghempapnya,” katanya.

Difahamkan, kumpulan itu tiba di Lombok pada Selasa lalu dan dijadual pulang ke tanah air, hari ini.

Sementara itu, seorang pendaki warga Malaysia , Khairul Azim, 30 berkata, mangsa mengikuti kumpulan kecil pendaki turun lebih awal dari kumpulannya.

“Ketika kejadian mangsa ke tandas sebelum berlaku gegaran dan rumah berkenaan roboh menghempap mangsa.

“Keadaan di sini kini agak kelam kabut dan usaha untuk menghubungi kumpulan pendaki Malaysia yang lain masih dijalankan," katanya ketika dihubungi.

Khairul berkata, kumpulannya kini sedang berusaha untuk keluar ke Kuta berikutan banyak jalan yang rosak.

“Kami tidak dibenarkan lalu di jalan utama kerana banyak kerosakan berlaku akibat gempa bumi berkenaan.

“Sehingga kini kumpulan kami masih berada di Sembalun dan tidak boleh keluar dari kawasan ini berikutan laluan banyak terputus," katanya.

Berita berkaitan

Lombok bergegar !

'Mujur dah turun Rinjani'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 12:03 PM