KOLEKSI  topi keledar retro yang dikumpul oleh Sanim.  FOTO NSTP
KOLEKSI topi keledar retro yang dikumpul oleh Sanim. FOTO NSTP
Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Kebiasaannya pengumpul topi keledar retro menyasarkan jenama keluaran dari luar negara terutama Jepun dan Amerika Syarikat membabitkan jenama seperti Shoei, Bell dan Arai.

Namun berbeza bagi Sanim Othman, 38, yang menjadikan topi keledar buatan tempatan sebagai koleksi peribadi terutamanya keluaran 1960-an hingga 1990-an.

Malah, sehingga kini dia berjaya mengumpulkan lebih 50 topi keledar retro membabitkan pelbagai jenama seperti Expendite, Mazura, Bell Malaya, Maxs, Prestige, Hoover, Crown dan Kings.

Sanim yang bekerja sebagai guru di sebuah sekolah rendah di Selangor berkata, minatnya itu bermula sejak 11 tahun lalu selepas tertarik dengan keunikan dan ketahanan topi keledar lama.

Katanya, bagi mencapai kepuasan terhadap minatnya itu dia sudah menghabiskan lebih RM5,000 bagi mendapatkan topi keledar retro yang diidamkan.

“Sebelum itu saya memang suka kumpulkan barang-barang lama seperti skuter Vespa, basikal klasik, botol minuman soda dan sebagainya.

“Sejak 2007 saya mula tertarik dengan topi keledar lama selepas mendapati produk terbabit tahan lasak dan berkualiti, selain tidak ramai yang mengumpulkan topi keledar keluaran syarikat tempatan,” katanya.

Menurut Sanim, kebanyakan topi keledar lama, lapisan luar atau cengkerang topi keledar retro ini dibuat menggunakan material gentian kaca yang menjadikan produk terbabit lebih tahan lasak dan ringan berbanding topi keledar sekarang kebiasaannya menggunakan bahan plastik diperkukuh dengan kevlar atau gentian karbon.

“Setakat ini yang paling diminati dan digemari oleh pengumpul topi keledar lama adalah jenama Expendite, Mazura dan Kings labuh.

“Topi keledar paling lama yang saya miliki adalah jenama Expendite yang dikeluarkan pada 1969 yang mempunyai cop pengesahan piawaian daripada Institusi Piawaian Malaysia atau kini dikenali Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

“Harga bagi sebiji topi keledar retro berkenaan dijual bermula RM350 hingga mencecah RM1,000 bergantung kepada keaslian produk dan tahun dikeluarkan.

“Sekiranya topi keledar berkenaan dikeluarkan sekitar 1960-an dan kondisinya masih baik serta masih mengekalkan keaslian seperti cat, span dan cengkerang asal seperti dikeluarkan kilang harganya pasti tinggi kerana sukar untuk didapati,” katanya.

Sanim berkata, selain topi keledar dia turut mengumpulkan aksesori bagi topi keledar retro seperti cap dan pengadang (visor).

“Aksesori topi keledar yang paling sukar didapati yang masih saya simpan adalah cap jaring jenama Mazura keluaran 1980-an dan harganya pernah dijual sekitar RM250 seunit.

“Saya turut berkongsi minat mengumpulkan topi keledar retro ini di kumpulan Facebook (FB) Malaya Helmet Collector (MHC) dan Persatuan Pemilik Topi Keledar Lama Malaysia (PPTKLM) bersama lebih 300 ahli yang saling berkongsi pendapat selain menjual dan bertukar barang koleksi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 7:24 AM