JIKA kedua-duanya tidak balik kampung, Ziana beraya di Shah Alam saja.
JIKA kedua-duanya tidak balik kampung, Ziana beraya di Shah Alam saja.
HM Digital

Walaupun kehidupan rumah tangga Ziana Zain kini dilanda badai, ia bukan penghalang untuk figura terkenal itu melakukan persiapan Aidilfitri bersama anak.

Penyanyi lagu Madah Berhelah ini berkata tidak banyak perbezaan memandangkan keluarganya sentiasa meriah meraikan lebaran.

“Saya datang daripada keluarga yang meriah dan sambutan perayaan kami setiap tahun tidak pernah sunyi.

“Begitu juga tahun ini. Persiapan saya dan anak sama seperti sebelum ini dan keperluan anak menjadi keutamaan saya,” katanya.

Menurut penyanyi dan pelakon tersohor ini, baru-baru ini dia menghabiskan masa selama 12 jam bersama anak untuk membeli-belah barangan keperluan Aidilfitri.

“Saya bawa semua anak keluar pada jam 10.30 pagi untuk beli pakaian dan macam-macam lagi.

“Kemudian kami berhenti untuk berbuka puasa dan selepas itu sambung membeli apa yang patut sampailah jam 10.30 malam,” katanya.

Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri, Ziana memberitahu ia bergantung kepada ibu bapanya.

“Kalau ibu bapa saya nak balik kampung, kami akan balik beramai-ramai. Kalau tidak, mungkin di Shah Alam saja.

“Namun, saya ada perancangan mahu bawa anak bercuti tetapi belum pilih destinasi dan tarikhnya,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai lebaran, Ziana teruja meraikannya kerana itu adalah masa sesuai untuk sanak saudara berkumpul.

“Bagi saya, Aidilfitri adalah masa untuk kita berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara yang sudah lama tak bertemu.

“Ketika itu, kita ambil kesempatan untuk bermaaf-maafan. Saya tahu, bermaaf-maafan boleh dilakukan setiap hari dan tak perlu tunggu Aidilfitri, tapi ‘feel’ bermaafan di Aidilfitri itu berbeza, kan?” katanya.

Diminta berkongsi pengalaman berpuasa tahun ini, Ziana bersyukur kerana anaknya yang kecil pun sudah mula berpuasa.

“Alhamdulillah, anak saya dah berpuasa. Yang kecil pun dah mula berpuasa, cumanya kena ‘hadiah’ dengan mainan supaya dia lebih bersemangat,” katanya.

Terbaru, Ziana terbabit dalam album lagu sempena Aidilfitri yang diberi judul Gema Lebaran Legenda.

Dalam album yang menggabungkan 12 penyanyi hebat itu, Ziana menyanyikan semula tiga lagu Aidilfitri popular, antaranya Halaman Asmara duet bersama Hazama.

“Selain Halaman Asmara, saya rakamkan semula lagu Suasana Hari Raya bersama Hael yang sebelum ini dinyanyikan adik saya, Anuar Zain dan Elina serta lagu Selamat Hari Raya nyanyian asal Allahyarhamah Puan Sri Saloma.

“Ini adalah satu projek khas yang patut diberi pujian kerana lagu lama yang terkandung dalam album ini malar hijau dan sentiasa dimainkan setiap kali menjelang Aidilfitri,” katanya.

Merakamkan semula lagu Halaman Asmara yang pernah dinyanyikan bersama Daruk Awie satu ketika dahulu memberikan pengalaman baru buatnya.

“Bekerjasama dengan Hazama sangat mudah. Suaranya juga tinggi dan kami mudah serasi,” katanya. -Syafil Syazwan Jefri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 4:08 AM