NADIA akui masih berkeinginan untuk kembali berumah tangga.
NADIA akui masih berkeinginan untuk kembali berumah tangga.
Najiy Jefri


TAHUN ketiga meraikan Aidilfitri sendirian tidak membuatkan pelakon, Nadia Brian terus diselubungi rasa sunyi tanpa insan bergelar suami di sisi.

Walaupun gagal dalam melayari bahtera perkahwinan, Nadia mengaku masih mempunyai keluarga yang sentiasa menjadi peneman terbaik buat dirinya.

"Alhamdulillah. Aidilfitri tahun ini lebih seronok kerana kami adik-beradik dapat berkumpul di rumah keluarga.

"Kalau tahun lalu ada yang terpaksa beraya di rumah keluarga mentua terlebih dahulu, tapi Alhamdulillah tahun ini rezeki dapat menyambutnya bersama-sama," katanya.

Menurut Nadia, sebagai wanita yang pernah mendirikan rumah tangga, dia mengaku masih mempunyai keinginan untuk kembali berumah tangga.

"Doakan moga Aidilfitri tahun depan saya dapat menyambut bersama suami baru. Tipu kalau saya tak nak berkahwin lagi.

"Saya pun mencari lelaki yang serius nak berkenalan dengan saya. Kalau boleh saya nak lelaki yang boleh membimbing saya ke arah yang lebih baik dan mempunyai kewangan kukuh.

"Jujurnya sehingga hari ini saya tidak pernah berhenti berdoa supaya dipertemukan jodoh dengan cepat dan terbaik," katanya.

Ditanya mengenai pengertian Aidilfitri, Nadia berkata, ia adalah bulan yang cukup indah untuk mengeratkan silaturrahim dan saling bermaaf-maafan.

"Aidilfitri adalah masa untuk kita saling berkasih sayang dan bermaaf-maafan. Kita seharusnya menggunakan masa ini untuk mengeratkan hubungan antara keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan.

"Paling utama sekali adalah kita perlu menyayangi diri kita dengan apa cara sekali pun. Jadi, guna masa ini membina kebahagiaan untuk diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 6:30 AM