Ibrahim Isa


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Tentera Nasional Indonesia (TNI) menahan 16 perompak termasuk dua dalang di perairan selatan Mersing, Johor dan Pulau Batam selepas mereka merompak sebuah kapal dagang, hari ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, dalam kejadian pada 3 pagi, kapal dagang yang berdaftar di Mongolia, MT Lee Bo dirompak kumpulan 14 lelaki bersenjatakan parang dan pisau.

Katanya, bertindak atas maklumat, pihaknya menyerbu kapal itu di kedudukan 25 batu nautika dari perairan Mersing pada 6.45 pagi dan menahan 14 lelaki berusia 35 hingga 53 tahun.

“Hasil siasatan, mereka mengaku merompak kapal dagang MT Lee Bo dan mendedahkan nama dalang sebenar.

“Berikutan itu, kami menghubungi rakan strategik, Wastern Fleet Quick Response dari TNI sebelum mereka menahan dua lelaki di Pulau Batam, Indonesia pada 9.30 pagi tadi.

“Kedua-dua lelaki berusia 40 dan 50 tahun itu dipercayai dalang utama kumpulan berkenaan dan akan dibawa ke Malaysia bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Pangkalan Maritim Malaysia Tanjung Sedili, hari ini.

KAPAL MT Bright. FOTO Mohd Azren Jamaludin
KAPAL MT Bright. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Menurutnya, kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan secara berkumpulan.

“Selain itu, kami akan menyiasat kehadiran MT Lee Bo yang berlegar-legar di sini, apakah tujuan mereka sama ada mahu membeli diesel secara haram atau sebaliknya.

“Sekiranya mereka melakukan kesalahan, kami akan mengambil tindakan. Bagaimanapun, semuanya bergantung pada siasatan,” katanya.

Katanya, kejayaan itu adalah tangkapan terbesar tahun ini dan pihaknya akan meneruskan Ops Pagar hingga selepas Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 6:52 PM
ZULKIFLI (kanan) memeriksa sekumpulan 14 perompak yang ditahan di atas kapal MT Bright di perairan Mersing,Tanjung Sedili, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin