SALAH (kiri) dan Mane. FOTO AFP & Reuters
SALAH (kiri) dan Mane. FOTO AFP & Reuters
Agensi

London: Mohamed Salah mungkin perlu berpuasa sehingga 18 jam sebelum aksi final Liga Juara-Juara antara Liverpool dan Real Madrid di Kiev, Ukraine awal pagi Ahad ini.

Salah, pemain Muslim dari Mesir diketahui umum taat mengikut ajaran Islam dan rakan sepasukannya, Sadio Mane juga akan menemaninya dalam mengharungi waktu siang yang panjang di Eropah sepanjang Ramadan ini.

Dan ketika pengendali Liverpool, Jurgen Klopp tidak mendedahkan bagaimana beliau membuat persiapan berbeza untuk Salah, pengurus pasukan Mesir, Hector Cuper tampil membincangkan perkara itu menjelang Piala Dunia di Russia.

“Persatuan Bola Sepak Mesir menggunakan khidmat pakar bagi membantu saya dan pemain-pemain sepanjang Ramadan,” kata Cuper.

“Kami akan memantau pemakanan dan rehat mereka dan berharap ia tidak akan memberi kesan ketara ke atas mereka.

“Ia mungkin akan menjadi masalah kepada jurulatih kerana pemain-pemain akan berpuasa dari pagi hingga ke senja, jadi bukan mudah untuk menjalankan latihan.

“Tetapi, ia kewajipan dalam agama dan saya tidak boleh menghalang mereka daripada menunaikannya. Kami sedang mencari jalan terbaik untuk mengelak pemain daripada keletihan dan kecederaan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 4:02 AM