BARANG ditinggalkan pelanggan selepas menyerbu Pasaraya Econsave di Pontian setelah tularnya berita TMJ dikatakan akan membelanjakan sejumlah wang kepada rakyat yang berada di pasar raya itu, semalam. FOTO ihsan Econsave
BARANG ditinggalkan pelanggan selepas menyerbu Pasaraya Econsave di Pontian setelah tularnya berita TMJ dikatakan akan membelanjakan sejumlah wang kepada rakyat yang berada di pasar raya itu, semalam. FOTO ihsan Econsave
Ibrahim Isa


POLIS Johor menggunakan akta baru diluluskan, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 untuk menyiasat berita palsu mengenai Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim beri bantuan di beberapa pasar raya, semalam.

Mesej mendakwa TMJ akan memberi bantuan sehingga RM200 di Pontian dan beberapa daerah lain tular di media sosial, menyebabkan keadaan kelam kabut di beberapa pasar raya.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata pada 10 pagi semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian menerima maklumat kehadiran orang ramai di pasar raya Econsave Pontian disebabkan mesej itu.

“Hasil siasatan mendapati, mesej itu adalah palsu dan penyebaran mesej seumpamanya turut dikesan di beberapa lokasi lain di negeri ini.

“Berikutan itu, kami menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

“Seseorang itu boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan bersalah. Kita turut menyiasat mengikut Seksyen 4 Akta Antiberita Tidak Benar 2018,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Khalil berkata, mengikut akta baru itu, individu sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara hingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, jika kesalahan itu masih diteruskan selepas disabitkan bersalah, seseorang itu boleh didenda sehingga RM3,000 selama kesalahan masih berlaku.

Berikutan itu, beliau menasihati orang ramai supaya menyemak kesahihan berita dan jangan percaya apa yang diterima di media sosial secara membuta tuli.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, pengendali media sosial atau portal berita yang menulis dan menyebarkan laporan palsu, menyakitkan hati, jelik atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyalahgunakan media sosial mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 11:37 AM