PENDUDUK sekitar Taman Pasir Putih mendapatkan rawatan selepas mengalami simptom sesak nafas, pening dan loya di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. FOTO Mohd Sabran Md Sani
PENDUDUK sekitar Taman Pasir Putih mendapatkan rawatan selepas mengalami simptom sesak nafas, pening dan loya di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Ibrahim Isa


POLIS Johor meminta orang ramai lebih bertanggungjawab dan tidak lagi menyebarkan berita palsu berkaitan pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, atau berdepan tindakan tegas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dalam satu kenyataan berkata, sejak kebelakangan ini banyak berita palsu dan tidak benar ditularkan melalui media sosial mengenai kejadian itu.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan banyak pihak termasuk pelajar terpaksa mendapatkan rawatan, namun penyebaran berita tidak benar menyebabkan suasana panik dan kegusaran awam.

“Setakat ini keadaan masih terkawal dan tiada sebarang kematian dilaporkan. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dan mudah percaya kepada berita yang tidak dapat dipastikan sumber dan kesahihannya.

“Polis Johor juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu dan tidak benar hingga mengganggu ketenteraman awam.

“Ini kerana, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang dikenal pasti menyebarkan maklumat palsu mengenai kejadian ini,” katanya.

Menurutnya, penyebaran maklumat palsu yang menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya, selain itu penggunaan media sosial sebagai medium penularan berita palsu adalah kesalahan yang boleh diambil mengikut Seksyen 233

Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM 50,0000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 6:07 PM