Zatul Iffah Zolkiply


DUA remaja perempuan direman tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan berhubung tindakan sekumpulan remaja memalukan lelaki orang kelainan upaya (OKU) dikenali sebagai 'Pok Ya Cong Codei' dengan membuka seluarnya.

Perintah reman terhadap dua suspek berumur 17 tahun dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Rosila Nik.

Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Difahamkan, polis sedang mengesan dua lagi rakan suspek yang berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan.

Selain itu, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk dua telefon bimbit bagi membantu siasatan.

NSTP semalam melaporkan tindakan biadap sekumpulan remaja memalukan 'Pok Ya Cong Codei' dengan membuka seluarnya.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan berkenaan turut menaburkan pasir pada kemaluan lelaki yang mengalami masalah lembam itu, selain tangannya turut diikat ke belakang.

Mangsa dikatakan dimalukan kumpulan berkenaan di kawasan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, 4 pagi kelmarin dan kejadian itu dirakam sebelum video berdurasi tujuh saat menjadi tular di Facebook.

Berita berkaitan:

'Pok Ya Cong Codei' OKU dibogel, dibuli [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 3:03 PM
SUSPEK remaja dibawa ke Kompleks Mahkamah  Kuala Terengganu untuk direman. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
SUSPEK remaja dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu untuk direman. FOTO Zatul Iffah Zolkiply